Teks: Aznita Zawawee
Kolagen merupakan salah satu produk kecantikan yang paling popular masa kini. Semua pengusaha kosmetik berlumba-lumba menghasilkan produk berasaskan kolagen kerana nilai permintaannya yang sangat tinggi. Pelbagai bentuk produk kolagen yang dihasilkan dari bentuk tablet, serbuk, minuman sehinggalah kepada produk kosmetik seperti lipstik, pelembap dan masker. Saya sendiri tidak ketinggalan mengambil produk kolagen untuk mengekalkan keanjalan kulit muka. Dengan kata lainnya untuk tidak cepat nampak tua :)
Sememangnya kolagen sangat sinonim sebagai produk anti-penuaan bagi golongan wanita. Kenapa kolagen? Apakah kebaikan kolagen sebenarnya? Kolagen dihasilkan secara semulajadi oleh tubuh badan kita. Namun, penghasilannya berkurangan sejajar dengan faktor usia. Kolagen sebenarnya berfungsi untuk memberikan struktur sokongan kepada pelbagai jenis tisu di dalam badan kita seperti pada bahagian otot, tulang dan ligamen. Ia memberikan kekuatan dan keanjalan pada tisu badan tersebut. Kandungan kolagen yang berkurangan menyebabkan kulit menjadi semakin nipis dan berkedut serta menyebabkan rambut kita mudah rosak atau rapuh.
Produk kolagen dapat membantu untuk menjadikan kulit kita kembali anjal dan mengurangkan kedutan/garisan halus pada wajah. Ia sememangnya antara produk anti-penuaan yang terbaik untuk golongan wanita dan juga lelaki yang mementingkan penampilan diri yang menarik. Umur yang paling sesuai untuk mengambil produk kolagen ialah mereka yang berusia 30 tahun ke atas. Namun tidak salah jika anda ingin mengambilnya lebih awal memandangkan mencegah itu adalah lebih baik dari merawat. Betul tak?
Kebanyakan produk kolagen hari ini dihasilkan daripada sumber marin/laut yang mana ia boleh mendatangkan kesan alahan bagi sesetengah individu. Cuba rujuk kandungan produk tersebut untuk mengetahui sumber kolagen yang digunakan. Jika tidak pasti, anda boleh bertanyakan pada doktor atau ahli farmasi sebelum mengambilnya.
Waktu paling sesuai untuk mengambil produk kolagen ialah pada awal pagi atau sebelum tidur. Tubuh kita akan menyerap kolagen dengan lebih baik jika diambil sebelum kita bersarapan. Pada waktu malam pula ia dikatakan sesuai kerana ketika itu tubuh badan kita sedang berehat dan proses rejuvenasi serta pembaik-pulih tisu sedang giat berlaku. Jangan ambil produk kolagen secara berlebihan untuk mendapatkan kesan yang segera. Patuhi arahan yang tertera pada label supaya ia tidak mendatangkan kemudaratan.
Pastikan produk kolagen yang diambil juga telah berdaftar dengan KKM supaya tahap keberkesanan dan keselamatan produk lebih terjamin. Cuba buat sedikit rujukan di internet untuk mengetahui testimoni atau maklumat berkenaan produk tersebut sebelum membelinya. Kebanyakan kolagen berharga agak mahal jadi anda perlu pastikan pelaburan anda adalah berbaloi :)
Nota: Sesetengah produk kolagen diklasifikasikan sebagai produk minuman dan ia didaftarkan di bawah Akta Makanan. Jika didaftarkan sebagai produk makanan, tiada maklumat yang boleh diperolehi dari sistem KKM yang saya kongsikan di dalam entri sebelum ini.
No comments:
Post a Comment