Showing posts with label Catatan Pengalaman. Show all posts
Showing posts with label Catatan Pengalaman. Show all posts

Tuesday, 23 August 2016

Pengalaman Selepas Berhenti Kerja

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Aznita Zawawee

Selepas bekerja selama lebih kurang 12 tahun dan akhirnya saya mengambil satu keputusan yang sangat drastik untuk berhenti kerja dan menjadi surirumah sepenuh masa di rumah. Keinginan ini sudah lama ada cuma masih berkira-kira untuk berhenti kerana bimbang keadaan kewangan keluarga akan terjejas. Antara sebab yang mempengaruhi tindakan saya sudah tentu kerana masalah anak bongsu yang tidak mahu ke sekolah dan menangis setiap pagi apabila dihantar ke taska hariannya serta ditambah dengan situasi yang menekan di pejabat.   

Jika dahulu, urusan anak sudah separuh ditanggung oleh pihak pengurusan taska dan sekolah. Kini, urusan anak dan suami semua ditanggung oleh saya sepenuhnya. Penat dan cabarannya memang terasa, malah lagi hebat dari ketika bekerja dahulu. Apabila kita di rumah, urusan rumahtangga bermula seawal pagi dan hanya akan berakhir apabila semua anak-anak tidur. Boleh dikatakan masa untuk diri sendiri sudah hampir tiada. Kadang-kadang waktu makan pun saya terkejar-kejar sebab perlu keluar menghantar anak ke sekolah sessi pagi dan petang. Memang pada awalnya keadaan saya agak teruk sehinggakan suami menyarankan saya untuk bekerja kembali. Dia cakap saya tak betah untuk terus tinggal di rumah. Bayangkan sampai begitu sekali komennya.

Cuma yang bagusnya apabila sudah tidak bekerja, saya tidak perlu lagi berfikir tentang cuti tahunan ketika anak-anak atau diri-sendiri yang sakit, untuk menghadiri urusan di sekolah seperti Hari Terbuka atau sessi pendaftaran dan untuk pergi bercuti atau pulang ke kampung. Nikmat untuk tidak perlu lagi mengejar 'punch card' dan bersesak-sesak di waktu pagi pun sangat berharga. Bila tidak bekerja, waktu bersama dengan anak-anak juga lebih lama. Cuma kadang-kadang mereka memang suka menguji keimanan mamanya di rumah. Anak-anak sedang membesar memang banyak akalnya kan? Para ibu memang kena bertabah banyak-banyak. Ini memang peringatan untuk diri sendiri.

Ramai yang bertanya kepada saya samada seronok atau tidak apabila menjadi surirumah sepenuh masa. Jawapan yang selalu saya bagi ialah seronok tapi PENAT. Jika anda belum bersedia, baik buat dahulu perancangan dan persediaan lebih awal. Perlu belajar untuk tidak menjadi 'perfectionist' dalam urusan rumahtangga dan ini adalah masalah terbesar saya sekarang. Banyak lagi yang perlu saya perbaiki dan pelajari dari segi pengurusan masa di rumah. Perjalanan masih jauh dan saya percaya lama-kelamaan semuanya akan bertambah baik. Inshaa Allah.

Gambar ketika bercuti ke Disneyland, Hong Kong.



Wednesday, 27 April 2016

Tips Bercuti Ke Krabi 2016

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Aznita Zawawee

Sebenarnya sudah lama nak kongsikan tentang percutian kami sekeluarga ke Krabi sempena cuti sekolah baru-baru ini. Percutian kali ini lagi sempoi berbanding percutian kami ke Perth tahun lepas. Persiapan ala kadar sahaja dan hanya menempah bilik penginapan lebih kurang seminggu sebelum berlepas ke sana. Kebanyakan bilik sudah hampir penuh ditempah memandang tarikh yang kami pergi merupakan musim puncak di Krabi. Seelok-eloknya cuba 'google' tentang bilik penginapan lebih awal untuk mencari tawaran terbaik.

Di Krabi, kami tinggal di hotel Baywatch Boutique Hotel Aonang yang mana lokasi hotel ini memang terbaik. Kenapa saya cakap terbaik? Lokasi hotel ini sangat dekat dengan pantai, restoran makanan halal yang sedap, tempat mengurut dan juga kedai-kedai menjual cenderamata. Cuma hotel yang kami duduk ini cuma bertaraf 3 bintang. Lagipun banyak masa habis di luar dan hotel ini memang menjadi tempat tidur sahaja. Kami tinggal di sana selama 4 hari 3 malam dengan kos RM715.


Aktiviti yang perlu anda lakukan di sinilah tentulah aktiviti pantai, snorkeling, 'island hopping' dan juga lawatan safari. Usah risau jika anda belum menempah sebarang pakej lawatan ini kerana di sepanjang Pantai Aonang, terdapat banyak kaunter khidmat pelancongan. Anda hanya perlu pilih pakej tawaran yang terbaik sahaja. Di Krabi terdapat banyak pulau yang menjadi tumpuan pelancong dan yang paling popular ialah Phi Phi Island. Kami tidak mengambil pakej ke sana kerana pulau itu berada agak jauh. Lawatan ke safari juga kami abaikan kerana cuaca agak panas ketika itu.

Jadi kami memilih pakej 'Hong Island Tour' untuk hari kedua dan '4 Islands Tour' untuk hari ketiga. 'Hong Island Tour' lebih sesuai untuk kanak-kanak  kerana aktiviti snorkeling hanya dilakukan di tepi pantai dan bukannya di laut yang dalam. Pakej ini juga akan singgah ke beberapa tempat menarik berdekatan seperti Hong Island Beach, Hong Lagoon, Lading Island dan Prakbia Island. Setiap pakej lawatan disediakan dengan makanan tengah hari yang sangat sedap. Pakej ini berharga 600 bhat untuk orang dewasa dan 400 bhat untuk kanak-kanak. Selain itu terdapat juga bayaran untuk masuk ke pulau ini sebanyak 300 bhat bagi orang dewasa dan 100 bhat untuk kanak-kanak.

Hari ketiga, kami memilih pakej '4 Islands Tour' dan untuk pakej ini lebih murah berbanding pakej kami ke Hong Island. Untuk pakej dewasa ialah 400 bhat seorang dan untuk kanak-kanak kamimendapat harga 200 bhat. Seperti biasa harga untuk memasuki pulau dibayar secara beransingan kepada pemandu pelancong yang bertugas. Saya sarankan anda membawa tikar sekali untuk selesa makan dan berehat di tepi pantai. Untuk anak-anak, mereka hanya memakai baju mandi sepanjang lawatan ini. Saya dan suami juga tidak membawa pakaian tambahan.

Hari ke 4 kami tidak ke mana-mana dan hanya menghabiskan masa di Pantai Aonang. Anda perlu cuba makanan tempatan seperti tomyam, phad thai, thai ice tea dan juga 'banana pancake'. Memang sangat sedap dan tomyam di Krabi agak berbeza dari tomyam yang kita biasa makan di Malaysia. Selain itu, anda juga boleh mencuba perkhidmatan urutan badan yang sangat murah dengan servis yang sangat tip top. Hanya berharga 200 - 250 bhat sejam. Saya hanya sempat beurut sebanyak 2 kali sahaja.

Untuk membeli cenderamata, ramai yang menyarankan ke pasar malam Krabi tetapi jadual kami agak padat dan tidak sempat untuk ke sana. Kami hanya membeli cenderamata di Pantai Aonang dan memang agak mahal berbanding membelinya di Bangkok.

Secara ringkasnya, percutian ke Krabi sangat sesuai untuk sekeluarga kerana banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama-sama. Selain itu faktor makanan juga amat penting kerana anak-anak akan mudah buat hal jika mereka lapar. Di Krabi, pilihan makanan halal memang banyak dan anda semua tidak perlu risau. Terlalu banyak untuk diterokai di Krabi dan sudah tentu kami akan kembali ke sana lagi untuk misi yang belum selesai. Inshaa Allah, jika ada rezeki :)




Sunday, 24 April 2016

Tips membeli rumah pertama

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Aznita Zawawee

Saya pasti semua orang impikan untuk memiliki rumah sendiri tetapi disebabkan harga rumah yang semakin tinggi nilainya membuatkan orang lebih suka menyewa daripada membelinya. Ini adalah pilihan masing-masing kerana kita sendiri tahu akan kemampuan kewangan kita sendiri. Cuma kalau diingat kembali waktu membeli rumah pertama dahulu juga saya dan suami merasakan yang kami tidak mampu sebenarnya. Belum cuba belum tau kan?

Sebenarnya rumah pertama tidak semestinya rumah idaman kita kerana mungkin kekangan kewangan semasa membuatkan pilihan agak terbatas. Rumah pertama yang saya dan suami beli merupakan sebuah rumah teres satu tingkat di Shah Alam. Berkeluasan tanah 1650 kaki persegi pada harga RM140K. Ia merupakan sebuah rumah lama yang dijual pada harga bawah pasaran. Kondisi fizikal memang bukan yang terbaik. Namun, fokus utama ketika itu bukan untuk mencari rumah idaman tetapi mencari rumah mampu milik, akses yang bagus dan dekat untuk ke tempat kerja.

Setelah bersetuju untuk membeli rumah, kami perlu pula mencari duit untuk membayar deposit. Pening kepala juga kami waktu itu dengan pendapatan tetap kami berdua tidak sampai RM4K sebulan. Tiada simpanan dan baru sahaja mempunyai seorang anak. Namun keinginan untuk membeli rumah mengatasi segalanya dan akhirnya kami teruskan hasrat tersebut dengan mengeluarkan simpanan KWSP dan bantuan pinjaman dari tempat suami bekerja. Pinjaman tersebut digunakan untuk menyediakan deposit sebanyak 10% termasuk 5% yuran guaman.

Apa yang suami saya selalu tekankan, kita bukan membeli rumah, kita membeli lokasi rumah. We don't buy a house, we buy the location. Rumah memang tidak cantik tetapi segala kemudahan dan akses adalah yang terbaik. Membeli rumah itu harus seperti mengukur baju di badan sendiri. Ikut kemampuan dan sekurang-kurangnya ada faktor yang kukuh untuk menyokong keputusan kita. Dalam kes kami faktor akses dan kemudahan itu adalah yang lebih utama.

Saya ada seorang kawan yang membeli rumah pertamanya di Nilai kerana alasannya ia merupakan rumah yang cantik dan besar pada harga yang sangat menarik. Bayangkan beliau berulang-alik ke tempat kerja di Shah Alam setiap hari. Semata-mata mengejar rumah idaman tetapi akhirnya rumah cantik itu ditinggalkan begitu sahaja kerana sudah tidak larat berulang-alik ke tempat kerja. Fikir masak-masak sebelum membuat keputusan drastik sebegini. Hendak dijual pun susah kerana faktor lokasinya,

Kepada yang masih belum membeli rumah, carilah rumah mengikut kemampuan masing-masing. Sekurang-kurangnya kita sudah ada rumah sendiri walaupun ianya hanya sebuah rumah flat atau unit studio. Apabila rezeki bertambah, jadikan rumah pertama itu deposit kita untuk membeli rumah yang kedua pula. Rumah pertama kami telah dijual pada harga RM208K dan keuntungan hasil jualan rumah itu kami jadikan deposit untuk rumah yang kedua. Rumah kedua ini pula dibeli pada harga RM250K pada tahun 2011. Kini nilaian rumah ini sudah mencecah sehingga ke RM550K dalam masa 5 tahun sahaja. Walaupun harga agak tinggi tapi masih mendapat permintaan di kalangan pembeli.

Jika tidak berusaha mahu membeli rumah pada hari ini, mungkin agak sukar untuk membelinya pada masa akan datang. Secara asasnya harga rumah sentiasa akan naik walaupun banyak spekulasi mengatakan ianya akan merundum sedikit masa lagi. Cuba dahulukan simpanan bulanan kita untuk membeli rumah sebelum kita berbelanja ke arah yang lain. Mudah-mudahan kita mampu membayar duit deposit dengan sedikit wang simpanan sendiri bersama-sama dengan wang simpanan KWSP (Akaun 2).

Sekiranya anda mahu mencari rumah, ingin menjual rumah atau bertanyakan pendapat tentang perihal membeli rumah, bolehlah hantar ke emel saya; aznitazawawee@gmail.com. Inshaa Allah saya dan suami boleh membantu kerana bidang hartanah adalah kepakaran suami saya.


Kenangan di rumah lama :) 


Ini gambar di rumah kami sekarang :)

Friday, 15 January 2016

Pusat Terapi Pertuturan di Shah Alam

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Aznita Zawawee

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini saya nak kongsikan sedikit maklumat bagi ibu-bapa yang sedang mencari pusat terapi untuk kanak-kanak yang mempunyai masalah pertuturan seperti buah hati saya, Zakwan. Pusat terapi ini terletak di Seksyen 13, Shah Alam. Syukur Alhamdulillah, sangat dekat dengan rumah saya dan bayaran dikenakan juga agak berpatutan jika dibandingkan dengan pusat terapi yang lain. 

Nama pusat terapi ini ialah Smart Integrated Therapy (Formerly known as Great Life Physio, Shah Alam). Jika ada yang berminat boleh cuba menghubungi nombor telefon mereka di talian 03-5524 0580.

Pusat ini terletak bersebelahan dengan Restoran Le Lac bagi sesiapa yang sudah biasa dengan kawasan Tadisma di Seksyen 13, Shah Alam. 

Setakat ini Zakwan sudah menjalani sebanyak 3 kali sessi terapi pertuturan ('Speech Therapy') di sana dan semuanya berjalan dengan lancar. Tidak lagi mengamuk sambil tendang pintu dan melalak sampai nak pecah anak tekaknya seperti di pusat terapi yang lama. Memang huru-hara di tempat lama dek kerana karenah Zakwan. Kadang-kadang saya pun buntu macam mana hendak mengawal situasi seperti itu. 

Bila tidak bekerja, nilai RM10 pun sudah terlalu besar buat saya. Inikan pula kena membayar RM150 dan Zakwan pula hanya menghabiskan masa untuk mengamuk di pusat terapi yang lama. Bila keadaan ini berlaku beberapa kali, saya dan suami mula memikirkan alternatif lain untuk bertukar pusat terapi. Alhamdulillah, di tempat baru ini Zakwan agak serasi dengan 'speech therapist'nya.
Lega sangat hati mama tau dik :)

Besar harapan mama nak tengok Zakwan boleh bercakap dengan betul macam budak-budak seusianya yang lain. Tahun depan dah nak masuk darjah 1 jadi harap-harap adalah perubahan nanti selepas 10 kali sessi terapi di sini. Amin.

Ok, kalau nak tahu jenis-jenis perkhidmatan yang ditawarkan di pusat ini, boleh rujuk gambar resit di bawah ini ye:



Setakat ini bayaran yang dikenakan untuk 'occupational therapy' atau OT adalah RM90 /jam dan harga untuk 'speech therapy' adalah RM100/jam.

Sekian, jumpa lagi.



Monday, 7 December 2015

Al-Fatihah Buat Yang Telah Pergi

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Aznita Zawawee

Assalamualaikum w.b.t.

Kebelakangan ini banyak berita kematian dikongsi teman-teman di laman Facebook. Ada yang kehilangan suami, ibu mertua dan tidak ketinggalan selebriti terkenal di negara kita yang telah pergi seperti Pak Yus dan juga Seniwati Mariani. Sesungguhnya mati itu pasti dan kita semua akan melalui saat-sat itu sendiri sama ada dalam keadaan kita bersedia atau tidak. Mudah-mudahan perjalanan akhir kita nanti akan dipermudahkan kelak. Amin. Buat teman-teman yang kehilangan orang tersayang, bersabarlah. Setiap apa yang berlaku itu pasti ada hikmah di sebaliknya.

Di sebalik cerita sedih ini, paling terkesan di hati saya apabila mendengar berita tentang kemangkatan Almarhum Tunku Jalil. Perjuangan Almarhum sama seperti arwah abah tersayang yang telah pergi dahulu pada 4.8.2015 yang lalu. Perginya seorang lagi pejuang penyakit kanser setelah mengharunginya dengan penuh keberanian dan kekuatan yang ada. Bukan mudah sebenarnya buat individu untuk melalui pengalaman ini. Rawatan yang panjang, penat dan menyakitkan. Ditambah pula dengan kesan-kesan sampingan yang memeritkan. Sesungguhnya hati ini amat tersentuh apabila melihat foto-foto Almarhum kerana saling tak tumpah sama seperti keadaan arwah abah saya semasa sedang menjalani rawatan kansernya. Tubuh menjadi kurus tak bermaya dan tuala basah sering diletakkan di atas kepala kerana selalu sahaja demam akibat antibodi yang kian lemah setelah menjalani rawatan kemoterapi.

Arwah abah juga ada mengikuti perkembangan Almarhum Tunku Jalil semasa hidupnya. Saat berita kejayaan pemindahan hati Almarhum Tunku Jalil, ia telah sedikit sebanyak menaikkan semangat arwah abah saya untuk melawan penyakitnya. Pernah arwah abah meminta hati dari mama saya dan juga bercerita dengan adik bongsu saya akan hal yang sama (pemindahan hati). Seolah-olah teruja mendengar perkembangan Almarhum Tunku Jalil ketika itu. Andai dapat diputar masa, sudah tentu saya sanggup berkorban hati saya untuk abah. Ya Abah.. Ita sanggup.

Kadang-kadang sukar untuk melelapkan mata kerana teringat saat-saat akhir arwah abah hendak meninggalkan kami semua. Bayangkan perasaan seseorang itu apabila diberitahu cuma tinggal 24 hingga ke 48 jam sahaja lagi masa untuk pergi buat selama-lamanya. Masih mengharapkan keajaiban berlaku tetapi siapa kita untuk melawan takdir Allah kerana semuanya sudah tertulis.

'Doktor cakap apa?' tanya abah. Kami tahu abah sudah dapat merasakan apa yang bakal berlaku.

"Tak ada apa-apa. Doktor suruh rehat" saya balas. Abah tanya lagi. Kali ini mama terus sahaja memberitahu segala-galanya pada abah.

Sedih sangat untuk bercerita akan hal sebenar kepadanya ketika itu. Abah diam. Nampak sedikit kecewa. Abah sangat kuat orangnya. Hingga ke akhirnya dia masih mahu melawan penyakitnya jika masih ada cara untuk merawatnya. Hari itu sepatutnya abah perlu menjalani pembedahan tetapi keadaan abah sudah tidak mengizinkan.

Sempat lagi arwah bergurau dengan berkata belum sampai lagi masa untuk dia pergi. 

"Lambat lagi ni abah nak pergi" sambil tersenyum lemah. Tanpa air mata setitik pun saya nampak terbit dari mata arwah. Kuatnya abah. Ya Allah.

Arwah nampak tenang sepanjang hari itu dan mulutnya tidak henti-henti membaca surah-surah pendek dan juga berzikir. Perkara paling tersentuh apabila abah menggenggam erat tangan saya sepanjang kami berzikir bersama-sama. Itu adalah momen paling indah antara saya dan arwah kerana saya dapat merasakan abah sedang menyampaikan kasih-sayangnya buat kali yang terakhir. Kasih-sayang yang jarang dizahir dalam bentuk fizikal. 

Pada mulanya abah enggan mengambil Morfin untuk mengurangkan kesakitannya. Abah cakap dia nak pergi dalam keadaan sedar. Mahu terus berzikir dan mengucap kalimah Allah dengan tenang.
Baik Abah jika itu mahumu. Kami terus membaca Yassin bersama-sama.

Tiba-tiba arwah berbisik dengan perlahan.

'Abah dah start rasa sakit ni. Abah nak ubat.. tak tahan..' Luluh hati mendengarnya. Kasihan abah menanggung kesakitan. Lagi sekali kami akur permintaan arwah. Semuanya dilakukan mengikut kehendak arwah kerana itu sahaja yang kami mampu buat ketika itu. Agar semua berjalan dengan mudah dan tenang buatnya.

Saya genggam lagi tangan abah dan meneruskan bacaan sampailah datang tetamu yang sudah mula ramai memenuhi wad untuk memberi kata-kata semangat dan doa. Abah sudah tidak mampu bercakap ketika ini. Mungkin sebak untuk berkata-kata.

Ada ketika abah marah jika ada sesiapa yang berdiri di hujung kakinya. Dia suruh kami bergerak ke tepi ke sebelahnya. Masa itu saya tidak faham kenapa. Setelah abah pergi, melalui sedikit pembacaan yang saya faham para malaikat datang secara berkumpulan untuk mencabut nyawa bermula dari hujung kaki hingga ke kepala. Mungkin arwah sudah nampak ketika itu. Wallahualam.

Kemudian abah dimasukkan ke ICU untuk diberi sokongan perubatan agar keadaannya lebih stabil. Saya merupakan insan terakhir yang dapat bercakap dengan arwah dalam keadaannya masih stabil dan masih terngiang-ngiang perbualan terakhir saya dengannya.

'Abah..ni ita datang ni..'

'Abah, bertahan ye abah. Tunggu sampai Huda (adik saya dari Kota Bharu) sampai. Abah jangan lupa ye bila ingat itu baca ayat-ayat. Ita, mama dan abang ada kat sini dan tunggu di bilik. Abah jangan risau dan rehat ye. Maafkan ita ye kalau ita ada buat apa-apa salah."

Abah angguk lemah. 

'Pukul berapa ni sekarang?" tanya abah.

'Pukul 1 pagi abah,' jawab saya.

'Oo masih awal,' balas abah lagi.

Tidak pasti apa maksudnya. Apa yang pasti ia merupakan malam yang paling panjang dan sukar buat kami sekeluarga.

Ketika itu saya lihat awah dalam keadaan yang paling sihat dan stabil berbanding keadaan sebelum masuk ke ICU. Dalam hati terdetik mungkin abah boleh bertahan sampai besok.

Pukul 4 pagi kami dikejutkan dengan panggilan telefon dari ICU dan jururawat memberitahu kedaan abah menjadi semakin kritikal secara tiba-tiba. Begegas ke sana tetapi abah sudah teralu lemah  tetapi masih sedar. Kami semua memohon maaf dan mengajar abah mengucap buat kali yang terakhir. Perlahan-lahan abah meninggalkan kami dengan tenang sekali. Terdiam. Terpaku. Sedih. Menangis.

Betul ke ni? Abah dah tak ada? Perasan bercampur baur. Pandang sekeliling.

Mama kelihatan tenang dan meneruskan bacaan Yassin sehingga habis di sebelah arwah. Abang dan adik-adik merenung arwah sambil menyedekahkan Al-Fatihah buat abah. Ya, ini semua bukan mimpi lagi. Kembali ke realiti.

Sudah sampai masanya abah bertemu dengan Penciptanya. Rehatlah abah kerana sudah lama abah menderita kerana penyakit ini. Sebulan setengah tidak mampu makan, muntah dan terbaring. Semoga Abah tenang di sana.

Redha.

Pukul 4 pagi itu juga adik saya dari KB baru sahaja sampai di hospital. Sempat dia memohon maaf dengan arwah. Alhamdulillah. Hebatnya perancangan Allah. Abah betul-betul tunggu adik saya sampai. 

Ketika arwah baru sahaja pergi meninggalkan kami, abang dan adik saya ada tercium bau kasturi. Subhanallah. Semoga penyakit yang ditanggung arwah benar-benar telah menyucikan dosa-dosanya selama ini. Amin.

Wajah arwah yang putih bersih dan tersenyum ketika jenazahnya sudah dikafankan kelihatan seperti sedang tidur. Itulah kali terakhir kami dapat melihat wajah kesayangan kami dan kami tatap sepuas-puasnya. Cuba tahan air mata dari menitis laju ke atas jenazah sebab bimbang ia menyakitkan arwah ketika itu. Sukar menahan perasaan tapi itu pesan arwah supaya tidak menangis di depan jenazahnya nanti.

Rindu itu masih terasa sehingga ke hari ini. Sebak yang amat sangat.

Belum puas berjasa dan bermanja. 

Perginya arwah abah yang dikasihi setelah berjuang dengan penyakit kanser selama 3 tahun. Arwah abah menderita akibat kanser usus yang telah merebak ke hati. Semoga roh arwah abah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Amin.

Rindu abah. Sayang abah.  





Sunday, 1 November 2015

Masalah anak lambat bercakap

Teks: Aznita Zawawee

Saya mengakui agak lambat membawa Zakwan berjumpa doktor pakar untuk mengenalpasti masalah yang dihadapinya. Selalunya orang tua akan bercakap anak kita ini jenis yang 'berat mulut' atau 'late talkers'. Kata-kata seperti "Zakwan nampak normal.", "Zakwan boleh cakap tapi pelat. Lama-lama nanti Zakwan oklah tu." antara yang sering diberikan oleh rakan-rakan dan ahli keluarga apabila saya menceritakan kerisauan terhadap perkembangan Zakwan. Ini semua sedikit sebanyak telah melengahkan saya membawanya bertemu dengan doktor pakar kanak-kanak. Pada mulanya saya juga risau jika Zakwan sebenarnya merupakan kanak-kanak autisme. Bukan hendak menolak ketentuan Allah sekiranya ia benar-benar berlaku cuma sedikit ralat sebab kami lambat bertindak.

Kemuncak kerunsingan saya bermula apabila Zakwan enggan ke sekolah tadika sewaktu sessi tahun 2015 bermula pada awal tahun yang lalu. Kami mengambil masa 2 minggu untuk menemaninya ke sekolah tetapi masih gagal. Untuk tidak mengganggu guru dan rakan-rakan kelas yang lain, kami putuskan tidak menghantarnya ke tadika untuk sementara waktu. Mungkin Zakwan masih belum bersedia ke sekolah. Zakwan memang suka mengamuk dan susah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru. Sebagai contoh: Zakwan akan menangis setiap kali kami menghantarnya ke taska. Padahal sudah setahun kami tempatkan dia di taska tersebut bersama-sama dengan kakak dan abangnya. Tiada masalah dengan budak-budak atau pengasuh di taska seperti bergaduh, pengasuh mendera atau garang. Dia susah untuk berpisah dengan kami apabila saya dan suami keluar bekerja.

Kami berjaya mendapat temujanji dengan doktor pakar Dr. Rajini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 31.03.15. Alhamdulillah, menurut Dr, Rajini, Zakwan tidak memiliki ciri-ciri autisme yang konsisten dan dia boleh bersekolah di sekolah biasa. Zakwan disahkan mengalami masalah lambat bercakap (Speech Delay) dan jangka-masa tumpuan yang singkat. Kami disarankan untuk mengubah cara kami mendidik anak di rumah seperti perlu tingkatkan peraturan tertentu, asingkan tempat tidur, buat jadual untuk anak-anak di rumah dan pastikan Zakwan tidak lagi menggunakan lampin pakai-buang untuk membuang air besar. Ketika itu Zakwan masih tidak mahu membuang air besar di tandas. Selain itu, Zakwan perlu menjalani terapi tatacara kerja dan terapi pertuturan untuk mengatasi masalah yang dihadapinya sekarang.

Saya sarankan kepada anda semua untuk membawa anak anda bertemu dengan pakar seawal 2 tahun sekiranya mendapati terdapat tanda-tanda mereka lambat bercakap. Seawal 2 tahun, anak kita sudah sepatutnya pandai menggunakan 2 perkataan untuk membentuk ayat seperti "Nak susu". Mereka juga sepatutnya sudah pandai menamakan objek-objek yang ringkas (cth: bola, burung), mengetahui lebih dari 50 perkataan dan kita sudah boleh memahami lebih kurang 50% daripada percakapan mereka. Bawalah anak anda berjumpa dengan pakar sekiranya mereka tidak menunjukkan ciri-ciri di atas. Jika lebih awal masalah mereka dikesan, lebih cepat kita dapat bertindak untuk merangsang perkembangan mereka.