Teks: Aznita Zawawee
Foto: Aznita Zawawee
Assalamualaikum w.b.t.
Agak lama tidak menulis di sini. Kalau nak kata sibuk, hari-hari pun sibuk sebenarnya. Semenjak menjadi suri rumah sepenuh masa ini, jadual harian saya masih kelam kabut. Kerja di rumah ini seakan-akan terlalu banyak nak kena 'cover'. Yang pasti lagi penat jika dibandingkan ketika saya masih bekerja dahulu. Kadang-kadang 'stress' juga dibuatnya :( :(
Mungkin saya masih belum pandai membahagikan masa antara kerja rumah dan mencari ruang waktu untuk menulis. Inshaa Allah saya akan cuba perbaiki lagi.
Terpanjang pula mukadimah saya hari ini :)
Sekarang ini memang musim demam cerita Boboiboy di kalangan anak-anak sekolah rendah. Saya pasti anak-anak anda pun begitu kan? Sabtu yang lepas, saya bawa anak-anak pergi menonton filem tersebut di GSC, Setia City Mall. Saya menunaikan janji saya untuk membawa mereka setelah peperiksaan tamat dan juga bersempena dengan cuti sekolah. Dengar cerita kutipan filem ini sudah melebihi RM 3 juta walaupun tidak sehebat kutipan Ola Bola. Tetap rasa bangga juga apabila karya tempatan masih mendapat tempat di hati orang kita.
Filem ini memang terbaik dan ibu-bapa pun boleh sama-sama melayan cerita ini dengan anak-anak. Dijamin anda tidak akan bosan sebab filem ini turut menyelitkan unsur komedi ringan. Saya memang suka watak Si Papa Zola atau Cikgu Papa dalam cerita ini. Memang lawak dan tidak kering gusi melihat telatahnya.
Apa yang lebih seronok sebenarnya apabila melihat kegembiraan pada wajah anak-anak semasa dan selepas menonton filem ini. Betapa 'small gesture' ini dapat memberikan kepuasan buat anak-anak kecil ini. Inilah ganjaran buat mereka hasil terperap di rumah selama seminggu berhempas pulas belajar untuk menjawab ujian.
OK, kita tunggu pula hasil ujian nanti macam mana pula ya anak-anak :)
No comments:
Post a Comment