Friday, 4 December 2015

Bagaimana hendak mendaftar produk kosmetik?

Teks: Aznita Zawawee

Assalamualaikum w.b.t.

Semasa saya mula-mula bekerja dahulu, produk kosmetik perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan badan yang lebih tepat mengawal aktiviti ini di bawah KKM ialah Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK). Ketika itu nombor perdaftaran yang diberikan kepada produk kosmetik ialah MAL xxxxxxxxK. Jika pengusaha kosmetik masih ingat ketika itu prosedur pendaftaran adalah lebih rumit berbanding dengan prosedur notifikasi sekarang. Bezanya kedua-dua prosedur ini ialah tempoh masa yang diambil oleh BPFK untuk membenarkan sesuatu produk kosmetik itu di pasaran. Jika dahulu, produk kosmetik perlu dinilai terlebih dahulu sebelum pihak BPFK memberikan nombor MAL. Pihak BPFK meneliti dokumen teknikal dan bukan teknikal sehingga mereka betul-betul berpuas hati dengan dokumen yang diberikan.
Namun kini, proses notifikasi produk kosmetik adalah lebih ringkas dan pemilik produk hanya perlu memberikan dokumen yang dinyatakan di dalam sistem atas talian BPFK sahaja. Tiada proses penilaian produk yang rumit seperti ketika awal-awal dahulu. Antara maklumat yang diperlukan seperti:
  • Jenama produk
  • Nama Produk
  • Senarai Varian / Warna
  • Jenis Produk (Krim, Mask dll)
  • Kegunaan Produk
  • Label
  • Formula
Hanya syarikat yang berdaftar di Malaysia sahaja yang layak untuk membuat notifikasi produk kosmetik. Pengusaha produk di luar negara perlu melantik wakil syarikat yang berdaftar di Malaysia sekiranya mereka berminat untuk memasarkan produk mereka di Malaysia. Proses notifikasi adalah secara atas talian dan bayaran yang dikenakan ialah sebanyak RM 50 bagi satu produk. Nombor notifikasi boleh diperolehi dalam masa 1-3 hari bekerja selepas pembayaran telah disahkan oleh pihak BPFK. Tempoh notifikasi adalah selama 2 tahun dan proses pembaharuan /renew notifikasi perlu dibuat sebulan sebelum tamat tempoh.

Walaupun tiada maklumat teknikal yang diperlukan bagi tujuan notifikasi ini, pemilik produk kosmetik perlu meyediakan 'Product Information File' atau singkatannya 'PIF' dan pihak BPFK boleh meminta dari mereka pada bila-bila masa sahaja yang dikehendaki. PIF ini merupakan satu set dokumen yang mengadungi maklumat teknikal dan keselamatan sesuatu produk kosmetik. 

Untuk pengetahuan pengguna dan pengusaha kosmetik, nombor notifikasi tidak perlu dicetak pada label produk. Jadi, tidak semestinya produk yang mana labelnya tiada tercatat nombor notifikasi (NOTxxxxx) itu tidak dimaklumkan /dinotifikasikan kepada pihak BPFK. Sebagai pengguna, anda bolehlah menyemak nombor notifikasi ini di laman web BPFK iaitu http://portal.bpfk.gov.my/  



No comments:

Post a Comment