Teks: Aznita Zawawee
Foto: https://pixabay.com
Rindu hendak berceloteh di blog ini tetapi sesungguhnya masa itu memang amat mencemburui saya :) :)
Pejam celik, pejam celik, kita sudah hampir memasuki suku pertama di tahun 2016. Betapa pantasnya masa berlalu. Masih banyak agenda yang ingin dilakukan semoga semuanya dipermudahkan. Amin.
Hari ini saya ingin menyentuh berkaitan suntikan vitamin C di dalam industri kecantikan. Semua wanita tahu akan peranan Vitamin C terhadap kesihatan kulit. Vitamin C merupakan sumber anti-oksidan, anti-penuaan dan agen pencerahan kulit. Suntikan Vitamin C sememangnya sangat digemari oleh mereka yang di dalam kategori 'beauty-conscious' kerana ingin kekal awet muda. Siapa yang tidak mahu kelihatan cantikkan?
Walaupun demikian, ramai juga yang sudah tahu bahawa Suntikan Vitamin C merupakan produk yang TIDAK berdaftar dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tujuan kosmetik.
Mengapa ia tidak boleh mendapat sijil notifikasi daripada KKM?
Ia tidak boleh didaftarkan kerana tidak memenuhi takrifan produk kosmetik itu sendiri. Perlu diingatkan bahawa sesuatu produk kosmetik itu hanya boleh digunakan pada lapisan permukaan kulit atau bahagian membran mukosa sahaja (kegunaan luaran). Suntikan tidak dikategorikan sebagai produk kosmetik.
Mengapa ia tidak boleh mendapat sijil notifikasi daripada KKM?
Ia tidak boleh didaftarkan kerana tidak memenuhi takrifan produk kosmetik itu sendiri. Perlu diingatkan bahawa sesuatu produk kosmetik itu hanya boleh digunakan pada lapisan permukaan kulit atau bahagian membran mukosa sahaja (kegunaan luaran). Suntikan tidak dikategorikan sebagai produk kosmetik.
Hanya doktor yang bertauliah sahaja yang boleh menggunakan ubat secara suntikan. Kesan radang pada tempat suntikan atau jangkitan kuman mungkin timbul sekiranya suntikan itu dilakukan oleh orang biasa termasuk pengusaha salun kecantikan.
Kesan buruk yang mungkin berlaku akibat terlebih dos ialah seperti ciri-birit, ketidakselesaan pada bahagian perut dan penyakit ginjal. Ianya juga boleh menyebabkan kematian sekiranya pengambilan suntikan vitamin C ini berlarutan dalam jangka masa yang lama.
Malangnya sumber produk ini memang mudah didapati di pasaran terutamanya melalui jualan secara atas talian. Kebiasaannya pembeli akan membawa suntikan vitamin C ini ke salun kecantikan atau klinik swasta yang menawarkan perkhidmatan suntikan ini. Rampasan yang telah dibuat oleh KKM juga semakin meningkat namun ia masih belum cukup untuk memberikan kesedaran kepada pihak pengusaha kosmetik dek kerana permintaan yang sangat tinggi.
Jika hendak kekal cantik, cantiklah secara sihat. Masih banyak produk krim atau serum kecantikan yang berasaskan vitamin C di pasaran. Cubalah cari yang serasi. Sebaik-baiknya dapatkan nasihat dari doktor pakar kulit sebelum melakukan rawatan suntikan vitamin C ini.
Kepada pengusaha kosmetik atau peniaga atas talian, anda akan menjadi sasaran pihak KKM sekiranya mengiklankan produk ini secara terang-terangan di laman sosial. Berhati-hatilah sebelum terkena.
Semoga ilmu ini bermanfaat buat semua.
Sekian.
No comments:
Post a Comment