Thursday 21 January 2016

Bahaya hidrokuinon dan merkuri

Teks: Aznita Zawawee

Ada dua bahan yang sering dicampurpalsukan di dalam formula bahan kosmetik iaitu hidrokuinon dan merkuri. Dua bahan ini sering didapati di dalam produk pencerahan kulit terutamanya di dalam krim malam. Kadang-kadang pengusaha tidak menyedari bahawa produk mereka telah dicampurpalsukan ('adulterated') kerana formula asal bukan datang daripada mereka. Kebiasaannya pengilang kontrak yang akan mengesyorkan formula tertentu kepada pengusaha kosmetik dan tanpa mereka sedari terdapat bahan yang dilarang dalam formula tersebut. Bahan yang dilarang ini tidak dimaklumkan dan proses notifikasi itu sendiri tidak memerlukan sebarang ujian makmal dilakukan bagi mengesahkan kehadiran bahan-bahan terlarang tersebut. 

Namun setelah banyak laporan kesan sampingan dilaporkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak berkuasa telah mensyaratkan bagi produk pemutihan kulit perlu menjalani ujian makmal dan keputusan ujian perlu diserahkan kepada pihak berwajib dalam tempoh sebulan setelah mendapat nombor notifikasi. Bagi saya syarat ini masih belum cukup kuat untuk memantau kes sebegini kerana jika pengusaha produk yang tidak bertanggungjawab masih boleh menyembunyikan maklumat sekiranya mereka ingin berbuat demikian. Ujian dilakukan oleh pihak pengeluar dan bukannya dari pihak KKM.

Hidrokuinon biasanya dicampurpalsukan di dalam produk pencerahan kulit. Kehadiran bahan ini boleh mempercepatkan proses pencerahan kulit, menghilangkan jeragat dan membantu masalah kulit yang tidak sekata. Namun jika ia digunakan secara berlebihan boleh mendatangkan kesan sampingan yang teruk seperti kulit kemerahan, menggelupas, tidak selesa dan menjadi hipersensitif. Penggunaan hidrokuinon yang terlampau kerap juga boleh menyebabkan kanser kulit.

Merkuri pula banyak digunakan di dalam produk anti-penuaan termasuk produk pencerahan kulit. Kesan sampingan yang boleh terjadi adalah seperti ruam-ruam, iritasi dan perubahan warna pada kulit. Merkuri ini boleh membahayakan kita jika diserap masuk ke dalam sistem tubuh kerana ia boleh menjejaskan fungsi buah pinggang dan sistem saraf.  Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Ini boleh terjadi jika kita tertelan produk yang mengandungi merkuri tanpa sengaja.

Jadi nampak tak akan bahaya hidrokuinon dan merkuri ini pada kita? Tanggungjawab kita sebagai pengguna perlulah maklumkan kepada pihak KKM sekiranya terdapat kesan sampingan yang tidak diinginkan kerana ia boleh membantu mereka menjalankan siasatan lebih lanjut ke atas produk tersebut. Jika ada masa, layarilah laman web KKM untuk mengetahui produk apa yang telah ditarikbalik dari pasaran. Mungkin anda akan terkejut kerana terdapat juga jenama yang agak terkenal telah ditarikbalik akibat kehadiran bahan yang dilarang di dalam produk mereka.

Nota: Sebahagian maklumat yang saya kongsikan diperolehi dari laman web KKM dan ia merupakan jawapan yang umum jika berlaku sesuatu kes penarikanbalik produk.

No comments:

Post a Comment