Friday 22 January 2016

Produk yang ditarikbalik oleh KKM

Teks: Aznita Zawawee

Baru sahaja saya berkongsi tentang bahayanya kandungan hidrokuinon dan merkuri di dalam produk kecantikan di dalam entri saya yang lepas. Semalam produk krim pemutihan jenama terkenal telah ditarikbalik dari pasaran akibat mengandungi kandungan merkuri. Pasti ia meninggalkan impak besar pada pangasasnya kerana ia merupakan produk dari jenama yang sedang hangat di pasaran. Untuk bertindak adil, saya cuma boleh katakan produk yang laris keluaran jenama ini bukanlah dari rangkaian krim malam tersebut. Bak kata pengasas, krim ini hanyalah produk suplemen sahaja dan beliau akan menjalankan siasatan lebih lanjut berkenaan hal tersebut. Yang salah tetap salah dan diharap pengusaha di luar sana lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan produk yang berkualiti dan selamat untuk semua.

Terdapat 5 jenis produk yang sering menjadi perhatian KKM iaitu produk pelansingan badan, kosmetik (krim pemutihan), kopi atau minuman tenaga, pati haruan dan ubat herba seperti maa'jun. Ini kerana hasil pemantauan yang dijalankan produk-produk ini sering mengandungi racun berjadual. Untuk makluman semua racun berjadual ini bukanlah seperti racun tikus dan sebagainya. Jangan salah faham ye :) Ia merujuk kepada bahan yang terkawal yang hanya dibenarkan di dalam kandungan ubat terkawal.

Berikut merupakan bahan-bahan racun berjadual yang sering hadir dalam kategori produk-produk di bawah:
  1. Produk pelansingan badan - sibutramin (sibutramin telah dilarang penggunaannya di US kerana ia boleh menyebabkan serangan jantung & strok).
  2. Kosmetik - hidrokuinon, tretinoin.
  3. Kopi/minuman untuk tenaga - sildenafil, tadelafil (kandungan viagra).
  4. Pati haruan - dexamethasone (ubat steroid untuk merawat alahan yang teruk, asma).
  5. Maa'jun - dexamethasone.

Bahan-bahan berjadual ini hanya boleh diambil atas nasihat doktor dan perlu menepati kuantiti yang dibenarkan untuk mengambilnya secara oral (makan). Bayangkan jika produk-produk tidak berdaftar yang anda sedang ambil mangandungi bahan-bahan tersebut. Kuantiti yang berlebihan boleh mengakibatkan kesan yang sangat bahaya. Kesan yang cepat bukan disebabkan kandungan herba yang terdapat di dalamnya tetapi disebabkan ubat terkawal yang dicampurpalsukan di dalam formula tersebut.

Saya sarankan kita sebagai pengguna supaya bertindak bijak sekirannya terdapt kesan sampingan apabila menggunakan produk-produk di atas. Laporkan pada pihak KKM dan lebih baik anda rujuk kepada doktor atau ahli farmasi sebelum mengambilnya. 

Nota: Maklumat di atas bukanlah merujuk kepada mana-mana produk yang ada di dalam pasaran. Tujuan saya berkongsi adalah untuk menerangkan kenapa pihak KKM memantau lebih ketat terhadap kategori produk-produk di atas. 


No comments:

Post a Comment