Thursday 28 January 2016

Bila anak merajuk

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Aznita Zawawee


Semalam 27.01.2016 genap 8 tahun usia anak dara tunggal saya, Kamelia Hazelin. Tapi semalam dia merajuk dengan mama dia. Kasihan anak mama. Mungkin bagi dia semalam harijadi paling tak 'best' yang dia pernah rasa. Mama minta maaf ya sayang. Inshaa Allah, panjang umur kita akan ada banyak lagi harijadi yang kita boleh sambut sama-sama. 

Pulang dari sekolah petang semalam, dia mengadu, "Sedihlah Ya hari ini. Mama marah Ya sebelum pergi sekolah". Sudahnya malam tadi lagi teruk dia kena marah dengan mamanya sampai tidur awal dan tak makan malam sebab merajuk.

Pagi ini bila bangun dari tidur, 'mood' dia dah ok. Senyum ceria macam biasa. Macam tiada apa-apa yang berlaku malam tadi. Lega hati mama. 

Kemudian dia cakap, "Mama, boleh tak Kamelia nak makan kat McD. Kamelia tak nak kek. Kamelia nak makan je."

Sedih pulak saya dengar permintaan dia. Hari ini saya dan suami dah janji nak bawa dia pergi makan McD malam nanti. Setelah penuh drama air mata semalam akhirnya jalan penyelesaiannya cuma makan di McD. Hai lah anak, kenapa tak cakap awal-awal? Penat je mama gaduh dengan awak :) :)

Hati budak-budak ini memang lembut dan mereka ini bukan jenis pendendam. Selagi marah kita bersebab, Inshaa Allah mereka akan terima kata-kata kita. Selebihnya berdoa dan terus berdoa kepada Allah untuk memudahkan segala urusan kita. 




Sunday 24 January 2016

Kebaikan serum untuk kulit wajah

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Aznita Zawawee

Hari ini saya nak kongsikan sedikit pasal kepentingan serum sebagai salah satu regim dalam produk penjagaan kulit. Mungkin ada yang keliru mana lebih penting antara serum atau krim pelembap. Perlu ke nak guna kedua-duanya? Ok, jangan risau sebab saya akan cuba terangkan kepentingan keduanya secara ringkas.

Serum - molekul lebih kecil / halus dan boleh meresap kelapisan paling dalam kulit kita. Biasanya serum ini mengandungi nutrien untuk kulit seperti anti-oksidan, anti-penuaan dan sebagainya. Biasanya harga serum memang agak mahal kerana kandungan nutriennya datang dari bahan-bahan berkualiti tinggi seperti minyak pati / essential oil.

Pelembap - molekul besar dan tidak boleh meresap ke lapisan dalam kulit. Memberikan kelembapan dan hidrasi pada lapisan kulit luar sahaja. 

Serum dipakai selepas penggunaan toner/penyegar dan diikuti dengan pelembap serta pelindung matahari. Jika terasa kulit terlampau berminyak atau berat dengan kesemua regim ini, anda boleh pilih samada serum atau pelembap dan disusuli dengan pelindung matahari. Boleh juga gunakan serum hanya pada waktu malam.

Tips: Penggunaan serum memang wajib jika anda mempuyai masalah kulit yang serius sama ada kulit kusam, kering dan mempunyai garisan-garisan halus. Ini kerana ia boleh bertindak jauh ke dalam kulit dan memulihkan sel-sel kulit kita dari dalam.

Bagi mereka yang tidak mempunyai masalah kulit mungkin boleh dahulukan penggunaan pelembap yang sesuai dengan kulit anda sahaja. Jika ada bajet lebih, boleh gunakan serum dan hadkan pemakaiannya hanya pada waktu malam. Waktu malam adalah lebih sesuai kerana ia adalah waktu di mana sel-sel kita berehat dan sistem tubuh kita akan memulihkan sel-sel yang telah rosak.



Pilihan saya :)

Friday 22 January 2016

Produk yang ditarikbalik oleh KKM

Teks: Aznita Zawawee

Baru sahaja saya berkongsi tentang bahayanya kandungan hidrokuinon dan merkuri di dalam produk kecantikan di dalam entri saya yang lepas. Semalam produk krim pemutihan jenama terkenal telah ditarikbalik dari pasaran akibat mengandungi kandungan merkuri. Pasti ia meninggalkan impak besar pada pangasasnya kerana ia merupakan produk dari jenama yang sedang hangat di pasaran. Untuk bertindak adil, saya cuma boleh katakan produk yang laris keluaran jenama ini bukanlah dari rangkaian krim malam tersebut. Bak kata pengasas, krim ini hanyalah produk suplemen sahaja dan beliau akan menjalankan siasatan lebih lanjut berkenaan hal tersebut. Yang salah tetap salah dan diharap pengusaha di luar sana lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan produk yang berkualiti dan selamat untuk semua.

Terdapat 5 jenis produk yang sering menjadi perhatian KKM iaitu produk pelansingan badan, kosmetik (krim pemutihan), kopi atau minuman tenaga, pati haruan dan ubat herba seperti maa'jun. Ini kerana hasil pemantauan yang dijalankan produk-produk ini sering mengandungi racun berjadual. Untuk makluman semua racun berjadual ini bukanlah seperti racun tikus dan sebagainya. Jangan salah faham ye :) Ia merujuk kepada bahan yang terkawal yang hanya dibenarkan di dalam kandungan ubat terkawal.

Berikut merupakan bahan-bahan racun berjadual yang sering hadir dalam kategori produk-produk di bawah:
  1. Produk pelansingan badan - sibutramin (sibutramin telah dilarang penggunaannya di US kerana ia boleh menyebabkan serangan jantung & strok).
  2. Kosmetik - hidrokuinon, tretinoin.
  3. Kopi/minuman untuk tenaga - sildenafil, tadelafil (kandungan viagra).
  4. Pati haruan - dexamethasone (ubat steroid untuk merawat alahan yang teruk, asma).
  5. Maa'jun - dexamethasone.

Bahan-bahan berjadual ini hanya boleh diambil atas nasihat doktor dan perlu menepati kuantiti yang dibenarkan untuk mengambilnya secara oral (makan). Bayangkan jika produk-produk tidak berdaftar yang anda sedang ambil mangandungi bahan-bahan tersebut. Kuantiti yang berlebihan boleh mengakibatkan kesan yang sangat bahaya. Kesan yang cepat bukan disebabkan kandungan herba yang terdapat di dalamnya tetapi disebabkan ubat terkawal yang dicampurpalsukan di dalam formula tersebut.

Saya sarankan kita sebagai pengguna supaya bertindak bijak sekirannya terdapt kesan sampingan apabila menggunakan produk-produk di atas. Laporkan pada pihak KKM dan lebih baik anda rujuk kepada doktor atau ahli farmasi sebelum mengambilnya. 

Nota: Maklumat di atas bukanlah merujuk kepada mana-mana produk yang ada di dalam pasaran. Tujuan saya berkongsi adalah untuk menerangkan kenapa pihak KKM memantau lebih ketat terhadap kategori produk-produk di atas. 


Thursday 21 January 2016

Bahaya hidrokuinon dan merkuri

Teks: Aznita Zawawee

Ada dua bahan yang sering dicampurpalsukan di dalam formula bahan kosmetik iaitu hidrokuinon dan merkuri. Dua bahan ini sering didapati di dalam produk pencerahan kulit terutamanya di dalam krim malam. Kadang-kadang pengusaha tidak menyedari bahawa produk mereka telah dicampurpalsukan ('adulterated') kerana formula asal bukan datang daripada mereka. Kebiasaannya pengilang kontrak yang akan mengesyorkan formula tertentu kepada pengusaha kosmetik dan tanpa mereka sedari terdapat bahan yang dilarang dalam formula tersebut. Bahan yang dilarang ini tidak dimaklumkan dan proses notifikasi itu sendiri tidak memerlukan sebarang ujian makmal dilakukan bagi mengesahkan kehadiran bahan-bahan terlarang tersebut. 

Namun setelah banyak laporan kesan sampingan dilaporkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak berkuasa telah mensyaratkan bagi produk pemutihan kulit perlu menjalani ujian makmal dan keputusan ujian perlu diserahkan kepada pihak berwajib dalam tempoh sebulan setelah mendapat nombor notifikasi. Bagi saya syarat ini masih belum cukup kuat untuk memantau kes sebegini kerana jika pengusaha produk yang tidak bertanggungjawab masih boleh menyembunyikan maklumat sekiranya mereka ingin berbuat demikian. Ujian dilakukan oleh pihak pengeluar dan bukannya dari pihak KKM.

Hidrokuinon biasanya dicampurpalsukan di dalam produk pencerahan kulit. Kehadiran bahan ini boleh mempercepatkan proses pencerahan kulit, menghilangkan jeragat dan membantu masalah kulit yang tidak sekata. Namun jika ia digunakan secara berlebihan boleh mendatangkan kesan sampingan yang teruk seperti kulit kemerahan, menggelupas, tidak selesa dan menjadi hipersensitif. Penggunaan hidrokuinon yang terlampau kerap juga boleh menyebabkan kanser kulit.

Merkuri pula banyak digunakan di dalam produk anti-penuaan termasuk produk pencerahan kulit. Kesan sampingan yang boleh terjadi adalah seperti ruam-ruam, iritasi dan perubahan warna pada kulit. Merkuri ini boleh membahayakan kita jika diserap masuk ke dalam sistem tubuh kerana ia boleh menjejaskan fungsi buah pinggang dan sistem saraf.  Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Ini boleh terjadi jika kita tertelan produk yang mengandungi merkuri tanpa sengaja.

Jadi nampak tak akan bahaya hidrokuinon dan merkuri ini pada kita? Tanggungjawab kita sebagai pengguna perlulah maklumkan kepada pihak KKM sekiranya terdapat kesan sampingan yang tidak diinginkan kerana ia boleh membantu mereka menjalankan siasatan lebih lanjut ke atas produk tersebut. Jika ada masa, layarilah laman web KKM untuk mengetahui produk apa yang telah ditarikbalik dari pasaran. Mungkin anda akan terkejut kerana terdapat juga jenama yang agak terkenal telah ditarikbalik akibat kehadiran bahan yang dilarang di dalam produk mereka.

Nota: Sebahagian maklumat yang saya kongsikan diperolehi dari laman web KKM dan ia merupakan jawapan yang umum jika berlaku sesuatu kes penarikanbalik produk.

Apakah definisi produk kosmetik dari sudut regulatori?

Teks: Aznita Zawawee
Foto: www.safecosmetics.org


Menurut definisi yang diberikan oleh Direktif Kosmetik ASEAN, produk kosmetik ialah sesuatu bahan atau persediaan yang digunakan pada bahagian luaran tubuh badan atau pada gigi dan juga bahagian mukus di dalam mulut kita bagi tujuan untuk membersihkan, mencantikkan, menghilangkan bau yang tidak menyenangkan, melindungi dan memelihara bahagian tersebut supaya berada di dalam keadaan yang baik.

Jika produk-produk kosmetik yang anda jual atau yang anda keluarkan memenuhi kriteria di atas, sila pastikan ia telah mendapat notifikasi dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Ini termasuk semua jenis produk seperti di bawah:

- krim, losyen, gel, minyak
- face mask
- sabun, deodoran
- minyak wangi
- persedian mandian
- produk kecantikan rambut
- produk untuk mencukur 

dan lain-lain. 

Jika anda ada sebarang kemusykilan, boleh hantarkan ke alamat emel saya di aznitazawawee@gmail.com. Inshaa Allah saya akan cuba menjawab sebarang pertanyaan yang diajukan sebaik yang mungkin.

Friday 15 January 2016

Kenali ubat anda

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Google



Semua jenis ubat perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Ubat terbahagi kepada 2 jenis iaitu kategori ubat terkawal dan juga ubat am. Ubat terkawal merupakan ubat yang hanya boleh diambil melalui preskripsi doktor seperti ubat kencing manis dan darah tinggi. Manakala ubat am pula ialah ubat yang tidak memerlukan preskripsi doktor yang lazimnya kita beli dari farmasi seperti suplemen kesihatan dan juga vitamin. 

2 ciri produk berdaftar yang anda perlu tahu ialah nombor pendaftaran produk dan juga pelekat hologram. Sesuatu ubat itu boleh diragui statusnya sekira kedua-dua ciri ini tidak dipamerkan pada label produk tersebut. Nombor pendaftaran produk bermula dengan MAL dan diikuti dengan 8 digit nombor serta diakhiri dengan huruf seperti A, X,T atau N.

Huruf yang terakhir pada nombor pendaftaran ini mewakili kategori ubat tersebut.    

A - Ubat racun terkawal
X - OTC (over the counter)
T - Ubat tradisional /herba
N - Suplemen Kesihatan

Diharap informasi ini memberi manfaat kepada anda semua. Jumpa lagi :)

Pusat Terapi Pertuturan di Shah Alam

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Aznita Zawawee

Assalamualaikum w.b.t.

Hari ini saya nak kongsikan sedikit maklumat bagi ibu-bapa yang sedang mencari pusat terapi untuk kanak-kanak yang mempunyai masalah pertuturan seperti buah hati saya, Zakwan. Pusat terapi ini terletak di Seksyen 13, Shah Alam. Syukur Alhamdulillah, sangat dekat dengan rumah saya dan bayaran dikenakan juga agak berpatutan jika dibandingkan dengan pusat terapi yang lain. 

Nama pusat terapi ini ialah Smart Integrated Therapy (Formerly known as Great Life Physio, Shah Alam). Jika ada yang berminat boleh cuba menghubungi nombor telefon mereka di talian 03-5524 0580.

Pusat ini terletak bersebelahan dengan Restoran Le Lac bagi sesiapa yang sudah biasa dengan kawasan Tadisma di Seksyen 13, Shah Alam. 

Setakat ini Zakwan sudah menjalani sebanyak 3 kali sessi terapi pertuturan ('Speech Therapy') di sana dan semuanya berjalan dengan lancar. Tidak lagi mengamuk sambil tendang pintu dan melalak sampai nak pecah anak tekaknya seperti di pusat terapi yang lama. Memang huru-hara di tempat lama dek kerana karenah Zakwan. Kadang-kadang saya pun buntu macam mana hendak mengawal situasi seperti itu. 

Bila tidak bekerja, nilai RM10 pun sudah terlalu besar buat saya. Inikan pula kena membayar RM150 dan Zakwan pula hanya menghabiskan masa untuk mengamuk di pusat terapi yang lama. Bila keadaan ini berlaku beberapa kali, saya dan suami mula memikirkan alternatif lain untuk bertukar pusat terapi. Alhamdulillah, di tempat baru ini Zakwan agak serasi dengan 'speech therapist'nya.
Lega sangat hati mama tau dik :)

Besar harapan mama nak tengok Zakwan boleh bercakap dengan betul macam budak-budak seusianya yang lain. Tahun depan dah nak masuk darjah 1 jadi harap-harap adalah perubahan nanti selepas 10 kali sessi terapi di sini. Amin.

Ok, kalau nak tahu jenis-jenis perkhidmatan yang ditawarkan di pusat ini, boleh rujuk gambar resit di bawah ini ye:



Setakat ini bayaran yang dikenakan untuk 'occupational therapy' atau OT adalah RM90 /jam dan harga untuk 'speech therapy' adalah RM100/jam.

Sekian, jumpa lagi.



Friday 8 January 2016

Senarai Pengilang Kosmetik Berstatus GMP

Teks: Aznita Zawawee

Assalamualaikum w.b.t.

Ini merupakan entri pertama saya di tahun baru 2016. Masih belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua. Semoga tahun ini akan membawa lebih kejayaan berbanding tahun lalu. Amin. Dah lama rasanya saya tidak membuat sebarang azam menjelang tahun baru kerana biasanya masuk bulan kedua saya sudah melupakan semua azam-azam saya sebelum itu :) Ini contoh yang tak baik. Jadi jangan ikut ye adik-adik.

OK, berbalik kepada tajuk entri di atas pasti ramai yang selalu ternampak pada iklan-iklan produk kosmetik yang mana kilang mereka berstatus GMP. Apa reaksi anda semua dengan kenyataan ini? Mungkin bagi sesetengah orang mereka tidak ambil pusing kerana lebih tertarik pada 'claim' produk yang ternyata lebih menonjol seperti "Nak putih?' , "Nak kurus?" atau "Nak cantik?". Betul tak? Jika anda perasan, biasanya status GMP ini ada tertera di sudut kecil iklan atau pada baris terakhir sesuatu iklan produk kosmetik.    

Apa itu GMP?

GMP adalah singkatan kepada 'Good Manufacturing Practice'. Menurut peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa, pengilang kosmetik perlu mematuhi garispanduan GMP. Garispanduan ini penting untuk mempastikan setiap produk kosmetik yang dihasilkan adalah konsisten dan dikawal dengan spesifikasi kualiti yang telah ditetapkan. Saya tidak akan menghuraikan dengan lebih lanjut berkenaan garispanduan ini kerana ia ada terlalu teknikal untuk difahami. Cukup sekadar anda semua tahu melalui garispanduan GMP, sesuatu produk itu akan dihasilkan dengan kualiti yang selamat digunakan oleh pengguna di luar sana. 

Kali ini saya cuma mahu kongsikan 'link' ini untuk anda semua membuat rujukan sekiranya ingin mengetahui kesahihan status GMP bagi pengeluar ('manufacturer') produk kosmetik yang anda sedang guna atau jual. Bukan apa, bila kita dah tahu kesahihan info yang diberi maka keyakinan kita untuk menggunakan sesuatu produk itu akan lebih bertambah.

Jom rujuk sini:


Semoga ilmu ini memberi manafaat buat kawan-kawan di luar sana.