Wednesday 12 October 2016

Ubat Tradisional Vs Ubat Farmaseutikal

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Sumber dari FB KKM.
 
 
 
Kadang-kadang saya hairan apabila semakin tingginya kesedaran masyarakat hari  ini berkaitan dengan penjagaan kesihatan, semakin mereka terdedah dengan bahaya di sebalik penggunaan supplemen kesihatan atau ubat herba yang dijual di pasaran. Bulan lepas, satu kenyataan akhbar telah dibuat oleh pihak KKM mengenai 2 jenis produk tradisional yang dikatakan mujarab untuk merawat penyakit resdung.
 
Hasil aduan daripada pengguna, pihak KKM telah melakukan siasatan ke atas produk tersebut. Hasil ujian makmal, ternyata ubat herba ini mengandungi bahan beracun Dexametahsone dan Chlorpheniramin. Kedua-dua bahan ini tidak boleh didaftarkan di bawah kategori produk tradisional kerana ia dikawal di bawah akta Racun 1952. Selain itu, ianya juga mengandungi nombor pendaftran MAL yang palsu.
 
Apabila membeli sebarang ubat herba atau suplemen, berhati-hati dengan tuntutan produk ('product claim') yang dibuat. Jika ianya dikatakan boleh merawat sebarang masalah berkaitan sesuatu penyakit, besar kemungkinan ia mengandungi bahan beracun. Bahan beracun ini dalam bahasa mudahnya 'ubat klinik/hospital' yang mana ianya hanya boleh diberikan atas nasihat doktor. Ini kerana ubat tersebut perlu diambil dalam dos tertentu sahaja untuk memberikan kesan yang optimum. Jika ia dimasukkan ke dalam ubat herba, kita tidak tahu sebanyak mana jumlah yang kita telah ambil kerana ia telah dimasukkan secara tidak sah oleh pihak pengilang.
 
Antara kesan sampingan ubat resdung yang dirampas ini ialah ia telah menyebabkan keradangan hati (hepatitis), masalah fungsi ginjal, ruam dan penambahan berat badan. Terdapat banyak lagi kesan negatif yang disenaraikan dan boleh rujuk gambar di atas.
 
Ubat tradisional/herba atau sebarang jus minuman kesihatan tidak boleh merawat penyakit. Berhati-hati dengan ubat herba/suplemen yang kononnya boleh merawat penyakit seperti resdung, darah tinggi, gout dan kencing manis. Seelokknya minta nasihat dari doktor atau ahli farmasi yang bertauliah.
 
Suplemen dan ubat herba ini biasanya diambil demi menjaga kesihatan secara umum dan bukannya khusus untuk merawat sebarang penyakit. Ianya juga boleh memberi kelegaan atau keselesaan terhadap sesuatu kondisi pesakit namun bukan bertindak untuk merawat sepenuhnya. Jika ingin mengambil sebarang produk kesihatan,pastikan ia berdaftar dan cuba buat sedikit penyelidikan di internet berkaitan ubat tersebut.

Tuesday 11 October 2016

Lebih Mudah dan Cepat Untuk Memasak Dengan Noxxa

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Aznita Zawawee
 
Sebenarnya sudah lama saya 'aim' untuk dapatkan periuk Noxxa tetapi disebabkan tiada kawan yang terdekat menjualnya maka saya 'usha' dari jauh sahaja selama ini. Bila tengok ada kawan-kawan kongsikan pengalaman menggunakan periuk ini di FB, ada perasaan sedikit teruja. Betul ke sangat mudah untuk memasak bila menggunakan periuk ini? Ditambah lagi dengan harga yang mahal dan rasa macam rugi sahaja nak habiskan beratus-ratus ringgit demi sebiji periuk.
 
Nak dipendekkan cerita, secara tak sengaja saya telah diperkenalkan dengan periuk noxxa ini semasa ke rumah jiran yang sedang mengadakan 'demo' cara pemakaian korset untuk pelansingan badan. Pergi untuk tujuan lain tetapi hasil tangkapan lain pula yang saya bawa balik ke rumah. Saya juga seperti ramai yang lain berpendapat bahawa periuk ini sememangnya mahal untuk dimiliki. Tapi kata orang, tak kenal maka tak cinta. Bila sudah cuba terus jatuh cinta.
 
Kenapa ia pilihan terbaik buat surirumah?
  • Waktu memasak lebih singkat. Pelbagai resepi boleh dimasak dalam waktu yang singkat. Contoh: Pelbagai resepi memasak nasi boleh disiapkan dalam masa 7 minit. Sup tulang dalam masa kurang dari 45 minit.
  • Periuk ini ada pelbagai fungsi seperti tekanan tinggi & rendah, masak perlahan, mengukus, menumis, memanas semula dan penunda masa sehingga 8 jam. 
  • Periuk tidak melekat 8 Liter, mudah dicuci.
  • Diameter dalam periuk 26.6 cm
Pendek kata, surirumah boleh memasak apa sahaja dengan periuk ini dari memasak nasi, lauk-pauk sehingga membuat kek serta kuih muih. Tidak perlu ada periuk yang lain untuk memasak pelbagai jenis makanan.
 
Jika ada yang berminat, boleh emelkan ke aznitazawawee@gmail.com untuk maklumat lebih lanjut.
 
 
 
Resepi pertama yang saya masak menggunakan periuk noxxa.
 
Nasi Goreng Kicap
  • Tekan fungsi 'Stir Fry', tumis bawang putih dan bawang merah.
  • Boleh tambah ayam atau daging. Kemudian 'OFF' kan fungsi 'Stir Fry'.
  • Tambahkan beras yang telah dibasuh dam masukkan air secukupnya. Cukup sekadar paras air melebihi sedikit sahaja dari paras beras. Kuantiti air kurang sedikit digunakan berbanding daripada memasak menggunakan periuk nasi yang biasa.
  • Boleh masuk bahan perasa/perencah seperti sos tiram, kicap atau stok ayam.
  • Tutup periuk, laraskan tombol pengawal tekanan kepada 'High Pressure' (HP)
  • Set HP selama 7 minit.
  • Selepas 7 minit, lepaskan stim.
  • Jika mahu masukkan sayur dan telur, kembali ke fungsi 'Stir Fry'. Masukkan telur dan sayur seperti menggoreng nasi yang biasa. Jangan lupa perasakan dengan garam secukup rasa.
Nampak tak apa kelebihan periuk ini? Kita boleh menggoreng nasi terus dari beras dan bukannya perlu memasak nasi terlebih dahulu.
 
Ini memang menu ketika kecemasan apabila saya tidak sempat untuk memasak lauk-pauk sebelum anak saya ke sekolah. Saya dah cuba, anda bila lagi?

Laman Web Baru BPFK

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Aznita Zawawee



Sebenarnya sudah lama saya mahu kongsikan maklumat terkini mengenai laman web Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsan (BPFK). Namun disebabkan saya masih belum boleh mengakses lagi laman web tersebut, maka saya peram dahulu seketika entri ini. Kini, secara rasminya laman web BPFK sudah bertukar kepada http://npra.moh.gov.my/ .
 
Jika dahulu sistem pendaftaran produk dikenali sebagai sistem Quest 3, kini ia telah digantikan dengan sistem Quest 3+. Ianya masih baru dan hanya notifikasi kosmetik sahaja yang boleh dilakukan secara atas talian pada masa ini. Pendaftaran produk kategori yang lain seperti produk suplemen kesihatan, ubat beracun dan ubat herba perlu dilakukan secara 'manual' dahulu sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Tuesday 23 August 2016

Pengalaman Selepas Berhenti Kerja

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Aznita Zawawee

Selepas bekerja selama lebih kurang 12 tahun dan akhirnya saya mengambil satu keputusan yang sangat drastik untuk berhenti kerja dan menjadi surirumah sepenuh masa di rumah. Keinginan ini sudah lama ada cuma masih berkira-kira untuk berhenti kerana bimbang keadaan kewangan keluarga akan terjejas. Antara sebab yang mempengaruhi tindakan saya sudah tentu kerana masalah anak bongsu yang tidak mahu ke sekolah dan menangis setiap pagi apabila dihantar ke taska hariannya serta ditambah dengan situasi yang menekan di pejabat.   

Jika dahulu, urusan anak sudah separuh ditanggung oleh pihak pengurusan taska dan sekolah. Kini, urusan anak dan suami semua ditanggung oleh saya sepenuhnya. Penat dan cabarannya memang terasa, malah lagi hebat dari ketika bekerja dahulu. Apabila kita di rumah, urusan rumahtangga bermula seawal pagi dan hanya akan berakhir apabila semua anak-anak tidur. Boleh dikatakan masa untuk diri sendiri sudah hampir tiada. Kadang-kadang waktu makan pun saya terkejar-kejar sebab perlu keluar menghantar anak ke sekolah sessi pagi dan petang. Memang pada awalnya keadaan saya agak teruk sehinggakan suami menyarankan saya untuk bekerja kembali. Dia cakap saya tak betah untuk terus tinggal di rumah. Bayangkan sampai begitu sekali komennya.

Cuma yang bagusnya apabila sudah tidak bekerja, saya tidak perlu lagi berfikir tentang cuti tahunan ketika anak-anak atau diri-sendiri yang sakit, untuk menghadiri urusan di sekolah seperti Hari Terbuka atau sessi pendaftaran dan untuk pergi bercuti atau pulang ke kampung. Nikmat untuk tidak perlu lagi mengejar 'punch card' dan bersesak-sesak di waktu pagi pun sangat berharga. Bila tidak bekerja, waktu bersama dengan anak-anak juga lebih lama. Cuma kadang-kadang mereka memang suka menguji keimanan mamanya di rumah. Anak-anak sedang membesar memang banyak akalnya kan? Para ibu memang kena bertabah banyak-banyak. Ini memang peringatan untuk diri sendiri.

Ramai yang bertanya kepada saya samada seronok atau tidak apabila menjadi surirumah sepenuh masa. Jawapan yang selalu saya bagi ialah seronok tapi PENAT. Jika anda belum bersedia, baik buat dahulu perancangan dan persediaan lebih awal. Perlu belajar untuk tidak menjadi 'perfectionist' dalam urusan rumahtangga dan ini adalah masalah terbesar saya sekarang. Banyak lagi yang perlu saya perbaiki dan pelajari dari segi pengurusan masa di rumah. Perjalanan masih jauh dan saya percaya lama-kelamaan semuanya akan bertambah baik. Inshaa Allah.

Gambar ketika bercuti ke Disneyland, Hong Kong.



Saturday 21 May 2016

Iklan Produk Kosmetik dan Makanan Kesihatan

Teks: Aznita Zawawee
Foto: FB KKM

Peranan iklan itu memang amat penting bagi sesuatu produk termasuk produk kosmetik dan makanan kesihatan. Iklan kita perlulah berinformasi dan unik supaya mendapat perhatian dari pelanggan kita. Namun demikian, ianya juga perlu bersifat jujur dan tidak memperdayakan pihak pengguna. Bagi kedua-dua kategori di atas tidak memerlukan kebenaran dari pihak Lembaga Iklan Ubat tetapi perlu mematuhi beberapa kriteria penting supaya tidak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Antaranya;
  • Tiada tuntutan kesihatan dan perubatan. Terdapat 20 jenis penyakit yang tidak boleh diiklankan antaranya ialah kerosakan buah pinggang, kerosakan jantung, kencing manis, sawan, lumpuh, batuk kering, asma, kusta, barah, pekak, ketagihan dadah,hernia, penyakit mata, tekanan darah tinggi, sakit mental, kemandulan, frigiditi, lemah fungsi seks, AIDS dan penyakit kelamin.
  • Tidak boleh mengandungi tuntutan yang melampau kecuali pihak syarikat mempunyai data sokongan sekiranya dicabar oleh mana-mana pihak.
  • Tidak boleh menggunakan jaminan  atau pengesahan seperti 99% atau 100% berkesan.
  • Sesuatu iklan itu tidak boleh menimbulkan rasa ketakutan di kalangan pengguna, berunsurkan khurafat dan mempergunakan isu agama atau mempunyai kepentingan agama tertentu.
  • Testimoni yang benar dan sah.
Kebiasaannya iklan makanan kesihatan banyak melanggar larangan di atas kerana mengandungi rawatan dan pencegahan ke atas 20 jenis penyakit tersebut. Secara umumnya, langkah alternatif untuk menjaga kesihatan itu tidak salah asalkan anda memahami bagaimana fungsi sesuatu produk tu bertindak. Seeloknya rujuk kepada doktor sebelum mengambil sebarang produk kesihatan terutamanya jika anda sudah menghidapi penyakit tertentu.

Larangan ini juga dibuat demi menjaga kepentingan dan keselamatan pengguna sekiranya mereka telah disahkan menghidapi penyakit kronik tertentu. Bayangkan mereka ini tidak mahu meneruskan rawatan perubatan di hospital dan hanya begantung kepada produk kesihatan semata-mata. Sudah tentu keadaan ini boleh mengancam nyawa seseorang terutamanya jika sesuatu iklan itu dibuat dengan memberi jaminan kesembuhan 100% terhadap penyakit yang mereka sedang hidapi. 

Kesalahan mengiklankan 20 jenis penyakit ini boleh mengakibatkan pihak terlibat didenda sehingga RM 3000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. Ianya juga tidak terhad kepada pemilik iklan sahaja kerana mereka yang mencetak, mengedar dan menyiarkannya turut boleh di denda di bawah akta ini.

Jika semua pun tak boleh, apa lagi yang tinggal untuk diiklankan? Sudah tentu iklan kita tidak menarik jika tidak mengandungi ayat-ayat 'Power' yang biasa kita gunakan. Jangan bimbang kerana masih ada caranya. Saya akan kongsikan caranya di entri seterusnya :) 

*Sumber dari FB KKM



Saturday 7 May 2016

Produk yang tidak perlu berdaftar dengan PBKD

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Sumber dari Pixabay





Produk-produk yang tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD):

  • Herba mentah ('raw herbs') samada yang telah dikeringkan atau yang telah dipotong kecil-kecil
  • Agen diagnostik/ kit ujian untuk kegunaan in-vitro atau kegunaan makmal
  • Peranti perubatan ('medical device') Cth: sarung tangan, produk penjagaan kanta lekap, 'syringe', kondom dll.
  • Racun serangga
  • Produk bina badan (protein, 'whey', soya)
  • Makanan
  • Produk detergen dan pembasmi kuman untuk kegunaan dosmetik sahaja.
Namun demikian, ada di antara produk-produk ini dikawal oleh bahagian lain yang turut berada di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Ia tidak melibatkan sistem 'Quest' seperti yang terdapat di laman http://bpfk.moh.gov.my/ .

Peranti perubatan dikawal di bawah 'Medical Device Authority (MDA)' - boleh rujuk di sini:
http://www.mdb.gov.my/mdb/

Produk makanan pula dikawal oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKMM) - boleh rujuk di sini: http://fsq.moh.gov.my/v5/ms/

Produk ubat dan kosmetik dikawal oleh pihak PBKD.

Kesemua badan ini dikendalikan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Friday 6 May 2016

Produk Yang Perlu Berdaftar Dengan KKM

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Sumber dari pixabay

Produk berdaftar dan produk bernotifikasi adalah 2 jenis proses yang berbeza yang perlu kita fahami ketika ingin menjual sesuatu produk berkaitan kesihatan dan juga penjagaan kulit. Seperti yang telah saya terangkan dahulu, produk kosmetik perlu mendapatkan nombor notifikasi dari pihak berkuasa iaitu dari Kementerian Kesihtan Malaysia (KKM). Nombor notifikasi akan bermula dengan huruf NOTxxxxxxxx. Manakala produk yang perlu mendapatkan nombor pendaftaran pula terbahagi kepada 4 kategori jenis ubat iaitu:


  1. Produk yang mengandungi racun berjadual (ubat darah tinggi, ubat kencing manis)
  2. Produk 'Over-the-counter' atau 'OTC' (vitamin C, paracetamol, multi-vitamin)
  3. Produk Tradisional (homeopati, teh herba, 'royal jelly', spirulina dan lain-lain)
  4. Produk veterinar
Kesemua kategori produk di atas akan diberikan nombor MALxxxxxxxx setelah ia berjaya didaftarkan dengan pihak KKM. Proses pendaftaran lebih rumit berbanding dengan proses notifikasi produk. Lebih banyak dokumen teknikal yang diperlukan bagi menyokong proses pendaftaran ubat tersebut berbanding dengan produk kosmetik.


Untuk penjual atas talian, mereka hanya boleh menjual produk kategori 2 dan 3 seperti di atas. Tanggungjawab anda sebagai penjual, pastikan kesemua produk yang dijual mempunyai nombor MAL. Kadang-kadang ada sesetengah dari penjual mendapatkan produk dari luar negara yang tidak berdaftar dengan KKM. Jangan terlalu ghairah dengan keuntungan sehingga membahayakan kesihatan pengguna yang membelinya. Kita tidak tahu tentang proses penghasilan produk itu jika ianya tidak berdaftar. Itulah sebab kenapa sesuatu produk ubat itu perlu berdaftar dengan KKM supaya pihak berwajib dapat mempastikan sesuatu produk itu benar-benar selamat, berkesan dan berkualiti tinggi.

Jika produk itu sudah terbukti berkesan dan berjaya di luar negara, cuba usahakan dengan pihak pembekal untuk mendapatkan nombor MAL dengan KKM. Sesuatu produk yang bagus sudah pastinya dikeluarkan oleh pengilang yang mempunyai reputasi tinggi di dalam bidang ini. Sekurang-kurangnya kilang mereka bertaraf GMP supaya setiap produk yang dikeluarkan itu mempunyai rekod dokumentasi yang lengkap dan teratur. 



Jika anda lihat produk makanan yang bersifat 'self-regulated' mempunyai pelbagai cerita di sebalik pembuatannya. Minuman tenaga yang dicampur steroid, mi kuning yang mengandungi bahan kimia berbahaya dan kilang bihun yang sangat kotor serta menjijikkan. Ini berlaku kerana produk makanan tidak perlu berdaftar. Kawalan terhadap produk makanan yamg minima membuatkan mereka berani membuat pelbagai perkara yang melanggar etika. Bayangkan jika produk ubat juga dikawal seperti produk makanan. Maka banyaklah kilang-kilang ubat yang akan muncul dan semua orang pun boleh menghasilkan produk ubat sendiri. 

Ini tidak bermakna saya menyokong pula produk makanan itu perlu berdaftar di masa hadapan. Bukan itu yang saya maksudkan :) Jangan salah faham nanti ramai yang kecam saya pula. Cuma ingin menggambarkan sifat peniaga itu kadang-kadang hanya fokus kepada keuntungan semata-mata. Kita akan bersikap acuh tak acuh apabila sesuatu akta itu hanya dikawal secara 'self-regulated'. Ini mungkin berlaku jika produkubat itu tidak perlu berdaftar dengan KKM. 

Anda perlu tahu bahawa produk ubat ini mempunyai bahan aktif yang boleh bertindak secara optima pada kuantiti dos tertentu. Ia boleh mendatangkan kerosakan pada buah pinggang seseorang jika dos yang diberikan adalah berlebihan. Jika dos terkurang pula dari yang sepatutnya, ia tidak akan mendatangkan kesan yang seperti diharapkan. Melalui proses pendaftaran produk ubat, pihak KKM boleh memantau aspek ini dengan lebih mendalam. 

Jom kita menjadi peniaga atas talian yang beretika :) Tak susah kan?