Showing posts with label Kosmetik & Farmaseutikal. Show all posts
Showing posts with label Kosmetik & Farmaseutikal. Show all posts

Tuesday, 5 April 2016

Bahaya Suntikan Vitamin C

Teks: Aznita Zawawee
Foto: https://pixabay.com

Rindu hendak berceloteh di blog ini tetapi sesungguhnya masa itu memang amat mencemburui saya :) :) 
Pejam celik, pejam celik, kita sudah hampir memasuki suku pertama di tahun 2016. Betapa pantasnya masa berlalu. Masih banyak agenda yang ingin dilakukan semoga semuanya dipermudahkan. Amin.

Hari ini saya ingin menyentuh berkaitan suntikan vitamin C di dalam industri kecantikan. Semua wanita tahu akan peranan Vitamin C terhadap kesihatan kulit. Vitamin C merupakan sumber anti-oksidan, anti-penuaan dan agen pencerahan kulit. Suntikan Vitamin C sememangnya sangat digemari oleh mereka yang di dalam kategori 'beauty-conscious' kerana ingin kekal awet muda.  Siapa yang tidak mahu kelihatan cantikkan? 


Walaupun demikian, ramai juga yang sudah tahu bahawa Suntikan Vitamin C merupakan produk yang TIDAK berdaftar dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tujuan kosmetik.

Mengapa ia tidak boleh mendapat sijil notifikasi daripada KKM?

Ia tidak boleh didaftarkan kerana tidak memenuhi takrifan produk kosmetik itu sendiri. Perlu diingatkan bahawa sesuatu produk kosmetik itu hanya boleh digunakan pada lapisan permukaan kulit atau bahagian membran mukosa sahaja (kegunaan luaran). Suntikan tidak dikategorikan sebagai produk kosmetik.



Hanya doktor yang bertauliah sahaja yang boleh menggunakan ubat secara suntikan. Kesan radang pada tempat suntikan atau jangkitan kuman mungkin timbul sekiranya suntikan itu dilakukan oleh orang biasa termasuk pengusaha salun kecantikan.

Kesan buruk yang mungkin berlaku akibat terlebih dos ialah seperti ciri-birit, ketidakselesaan pada bahagian perut dan penyakit ginjal. Ianya juga boleh menyebabkan kematian sekiranya pengambilan suntikan vitamin C ini berlarutan dalam jangka masa yang lama.

Malangnya sumber produk ini memang mudah didapati di pasaran terutamanya melalui jualan secara atas talian. Kebiasaannya pembeli akan membawa suntikan vitamin C ini ke salun kecantikan atau klinik swasta yang menawarkan perkhidmatan suntikan ini. Rampasan yang telah dibuat oleh KKM juga semakin meningkat namun ia masih belum cukup untuk memberikan kesedaran kepada pihak pengusaha kosmetik dek kerana permintaan yang sangat tinggi. 

Jika hendak kekal cantik, cantiklah secara sihat. Masih banyak produk krim atau serum kecantikan yang berasaskan vitamin C di pasaran. Cubalah cari yang serasi. Sebaik-baiknya dapatkan nasihat dari doktor pakar kulit sebelum melakukan rawatan suntikan vitamin C ini.

Kepada pengusaha kosmetik atau peniaga atas talian, anda akan menjadi sasaran pihak KKM sekiranya mengiklankan produk ini secara terang-terangan di laman sosial. Berhati-hatilah sebelum terkena. 

Semoga ilmu ini bermanfaat buat semua. 

Sekian.

Sunday, 24 January 2016

Kebaikan serum untuk kulit wajah

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Aznita Zawawee

Hari ini saya nak kongsikan sedikit pasal kepentingan serum sebagai salah satu regim dalam produk penjagaan kulit. Mungkin ada yang keliru mana lebih penting antara serum atau krim pelembap. Perlu ke nak guna kedua-duanya? Ok, jangan risau sebab saya akan cuba terangkan kepentingan keduanya secara ringkas.

Serum - molekul lebih kecil / halus dan boleh meresap kelapisan paling dalam kulit kita. Biasanya serum ini mengandungi nutrien untuk kulit seperti anti-oksidan, anti-penuaan dan sebagainya. Biasanya harga serum memang agak mahal kerana kandungan nutriennya datang dari bahan-bahan berkualiti tinggi seperti minyak pati / essential oil.

Pelembap - molekul besar dan tidak boleh meresap ke lapisan dalam kulit. Memberikan kelembapan dan hidrasi pada lapisan kulit luar sahaja. 

Serum dipakai selepas penggunaan toner/penyegar dan diikuti dengan pelembap serta pelindung matahari. Jika terasa kulit terlampau berminyak atau berat dengan kesemua regim ini, anda boleh pilih samada serum atau pelembap dan disusuli dengan pelindung matahari. Boleh juga gunakan serum hanya pada waktu malam.

Tips: Penggunaan serum memang wajib jika anda mempuyai masalah kulit yang serius sama ada kulit kusam, kering dan mempunyai garisan-garisan halus. Ini kerana ia boleh bertindak jauh ke dalam kulit dan memulihkan sel-sel kulit kita dari dalam.

Bagi mereka yang tidak mempunyai masalah kulit mungkin boleh dahulukan penggunaan pelembap yang sesuai dengan kulit anda sahaja. Jika ada bajet lebih, boleh gunakan serum dan hadkan pemakaiannya hanya pada waktu malam. Waktu malam adalah lebih sesuai kerana ia adalah waktu di mana sel-sel kita berehat dan sistem tubuh kita akan memulihkan sel-sel yang telah rosak.



Pilihan saya :)

Friday, 15 January 2016

Kenali ubat anda

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Google



Semua jenis ubat perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Ubat terbahagi kepada 2 jenis iaitu kategori ubat terkawal dan juga ubat am. Ubat terkawal merupakan ubat yang hanya boleh diambil melalui preskripsi doktor seperti ubat kencing manis dan darah tinggi. Manakala ubat am pula ialah ubat yang tidak memerlukan preskripsi doktor yang lazimnya kita beli dari farmasi seperti suplemen kesihatan dan juga vitamin. 

2 ciri produk berdaftar yang anda perlu tahu ialah nombor pendaftaran produk dan juga pelekat hologram. Sesuatu ubat itu boleh diragui statusnya sekira kedua-dua ciri ini tidak dipamerkan pada label produk tersebut. Nombor pendaftaran produk bermula dengan MAL dan diikuti dengan 8 digit nombor serta diakhiri dengan huruf seperti A, X,T atau N.

Huruf yang terakhir pada nombor pendaftaran ini mewakili kategori ubat tersebut.    

A - Ubat racun terkawal
X - OTC (over the counter)
T - Ubat tradisional /herba
N - Suplemen Kesihatan

Diharap informasi ini memberi manfaat kepada anda semua. Jumpa lagi :)

Wednesday, 25 November 2015

Kulit Putih Atau Kulit Sihat?

Teks: Aznita Zawawee

Produk pemutihan sentiasa mendapat tempat di kalangan wanita sejak dahulu lagi. Siapa yang tidak menginginkan kulit yang putih gebu kan? Hampir semua wanita mendambakan kulit sebegini sehinggakan terdapat pelbagai produk pemutihan wajah wujud di pasaran. Tidak salah mencuba produk-produk sebegini asalkan kita mengetahui sejauh mana kebaikan dan keselamatan sesuatu produk tersebut. Kini lebih mudah bagi kita sebagai pengguna untuk mengetahui keberkesanan sesuatu produk. Cuma buat carian di internet dan pasti terdapat forum atau blog yang membincangkan topik berkaitan. Sentiasa mengkaji terlebih dahulu produk yang ingin dicuba supaya kita tidak menyesal di kemudian hari.
Saya sering tekankan kepentingan kulit yang sihat berbanding kulit yang putih melepak. Sayangi dan hargailah anugerah semulajadi supaya kita tidak tersilap langkah menggunakan produk-produk yang berbahaya. Ada seorang teman pernah menggunakan satu jenama produk yang terkenal selama beberapa tahun dan akhirnya mendapat kulit sensitif yang agak teruk. Sehingga kini, dia hanya boleh menggunakan 'Aqueous Cream' sahaja sebagai produk penjagaan kulitnya. Tidak dinafikan kulit kawan saya menjadi putih dan licin sewaktu mula-mula menggunakan produk terkenal tersebut. Namun, lama-kelamaan kulitnya bertukar menjadi sensitif dan menggelupas dengan teruk sehingga perlu bertemu dengan doktor pakar untuk merawat kulit sensitifnya.
Sebenarnya fungsi krim pemutihan bukanlah untuk memutihkan kulit kita sehingga berbeza daripada warna kulit asal. Ianya lebih untuk menghilangkan kesan jeragat, parut dan mengembalikan tona kulit yang sekata. Kita perlu berhati-hati dengan produk yang menyebabkan penggelupasan kulit atau yang dapat memberikan kesan yang terlampau cepat kerana ia merupakan ciri-ciri biasa bagi produk yang mengandungi bahan kimia yang tidak dibenarkan. Sebaik-baiknya semak di laman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu sebelum membelinya. Kebiasaannya pengusaha kosmetik mengeluarkan krim pemutihan yang dicampur dengan bahan yang dilarang seperti Hidrokuinon, Merkuri atau Tretinoin. Disebabkan ini KKM bertindak lebih tegas dalam mengawal dan menilai permohonan notifikasi produk pemutihan di pasaran.
Untuk memiliki kulit yang cantik kita haruslah rajin menjaga kebersihan kulit kita, pastikan minum air dan tidur yang secukupnya. Jangan lupa sapukan krim pelindung matahari ketika keluar dari rumah untuk perlindungan dari sinaran UV yang boleh membahayakan kesihatan kulit kita. Sekali-sekala pergi mendapatkan rawatan muka di salun-salun kecantikan. Bukan sahaja kulit kita akan tampak cantik malah kita juga boleh merehatkan diri untuk ganjaran setelah penat bekerja selama 5 hari seminggu. 

Wednesday, 21 October 2015

Tips Untuk Mengetahui Jenis Kulit Anda

Teks: Aznita Zawawee

Jika masih keliru tentang jenis kulit, mari saya kongsikan sedikit tips untuk mengenalpasti keadaan kulit kita yang sebenarnya . Pertama sekali anda perlu mencuci muka dengan menggunakan pembersih yang lembut dan biarkan kulit anda bebas dari sebarang krim muka selama lebih kurang 1-2 jam.  

Perhatikan apa yang berlaku ke atas kulit muka anda, jika anda mempunyai:

1) Kulit Normal - Kulit kelihatan lembut, tidak kering dan tidak berminyak. Warna kulit juga sekata. Bersyukur jika anda tergolong dalam kumpulan ini. Ini merupakan kulit yang menjadi idaman ramai. Namun, penjagaan kulit yang sebaiknya tetap harus dititikberatkan walaupun kulit kita sudah sedia cantik. Jenis krim yang sesuai ialah krim yang berformula ringan yang mudah diratakan dan diserap ke dalam kulit.

2) Kulit Berminyak - Kulit kelihatan berkilat, berminyak dan pori-pori besar yang kadang-kadang menyebabkan masalah jerawat yang serius. Krim yang sesuai untuk jenis kulit ini ialah krim yang berbentuk gel atau cecair ("liquid'). Kebanyakan produk untuk muka berminyak dan berjerawat mengandungi alkohol dan bahan yang merengsakan kulit. Berhati-hati apabila memakai produk sebegini kerana ia boleh menyebabkan kulit menjadi terlebih kering dan rengsa. Elakkan daripada menggunakan pelembap yang "creamy".

3) Kulit Kombinasi - Di bahagian Zon-T kelihatan berminyak dan normal atau kering di bahagian lain. Agak mencabar untuk menjaga kulit wajah sebegini kerana anda memerlukan 2 jenis produk untuk merawat masalah kulit yang berlainan. Produk yang sesuai haruslah dalam bentuk gel atau "liquid" untuk bahagian berminyak/ Zon-T dan krim yang ringan atau serum di bahagian yang normal atau kering.

4) Kulit Kering -  Kulit muka terasa ketat ("tight") dan terdapat kawasan yang menggelupas. Perlu memakai krim atau losyen muka dengan kerap terutamanya jika mereka terdedah dengan cahaya matahari dan penghawa dingin untuk jangka masa yang lama. Elakkan dari menggunakan produk yang mengandungi bahan yang merengsakan kulit seperti menthol, citrus, peppermint atau alkohol.

Yang mana jenis kulit anda? Saya nombor 3 :)

Sememangnya ia akan menjadi lebih mudah untuk mencari produk yang sesuai setelah mengetahui jenis kulit kita yang sebenarnya. Semoga ilmu ini bermanfaat bagi sesiapa yang membacanya.




Monday, 19 October 2015

Tips Memilih Produk Kecantikan Yang Sesuai & Selamat

Teks: Aznita Zawawee

Tidak dinafikan produk kecantikan memang menjadi teman baik kepada kaum wanita. Setiap hari akan ada produk kecantikan yang baru keluar di pasaran dan ramai pasti teruja untuk mencubanya setelah disajikan dengan testimoni yang memberangsangkan. Sejauh manakah produk-produk ini selamat dan sesuai untuk kulit kita? Sebagai pengguna yang bijak kita perlu mengkaji terlebih dahulu tentang produk tersebut sebelum mencubanya. Jangan terpengaruh dengan iklan-iklan yang dipamerkan kerana kesan penggunaan akan berbeza-beza mengikut si pemakainya. Antara perkara penting yang perlu dititikberatkan oleh pengguna dalam pemilihan produk kecantikan yang sesuai dan selamat ialah:

1) Pastikan sesuai dengan jenis kulit - Sebelum memilih sesuatu produk, perlulah difahami dan dikenalpasti akan jenis kulit kita yang sebenarnya. Kesilapan memilih produk yang tidak sesuai boleh mengakibatkan kemudaratan pada kulit si pemakai. Jenis-jenis kulit pada asasnya terbahagi kepada 4 iaitu kulit normal, kulit berminyak, kulit kombinasi dan kulit kering.
Produk yang sesuai dan selamat tidak akan menyebabkan keadaan kulit menjadi rengsa, menggelupas dan berjerawat. Seringkali kita dengar ia adalah satu tindakbalas permulaan yang normal apabila muka ditumbuhi jerawat atau menggelupas selepas penggunaan produk baru. Kesan ini dikatakan berlaku untuk mengeluarkan segala kekotoran yang sebelum ini tersembunyi di dalam kulit kita. Adakah ia fakta atau auta semata-mata? Saya tidak pasti secara sahihnya tetapi berdasarkan pengalaman, produk kecantikan yang bagus tidak sepatutnya menghasilkan kesan yang negatif di awal penggunaannya. 

2) Bahan kandungan - Sebaik-baik bahan kandungan perlu berasaskan dari bahan semulajadi. Kebanyakan bahan penting yang terdapat di dalam produk kosmetik hari ini berasaskan dari tumbuhan herba, ekstrak buah-buahan dan sayur-sayuran. Antaranya seperti ekstrak tomato, timun, lidah buaya dan sebagainya. Pastikan juga tiada bahan yang terlarang digunakan dalam formulasi kosmetik tersebut terutamanya jika produk itu dikhabarkan menghasil kesan pemutihan yang cepat dan drastik. Kebanyakan krim pemutihan dan krim malam mengandungi bahan-bahan kimia yang tidak dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

3) Beli set percubaan terlebih dahulu - Kebiasaannya saya suka membeli set percubaan terlebih dahulu sebelum mencuba sesuatu produk kecantikan. Ianya lebih praktikal dan jimat sekiranya produk yang dibeli itu tidak sesuai dengan kulit kita. Namun tidak semua produk kecantikan menawarkan pek percubaan jadi mungkin anda boleh mencuba dengan membeli pek yang kecil terlebih dahulu. Saya gemar ke outlet SASA kerana di situ ada dijual pek-pek kecil beberapa jenama kosmetik terkenal untuk dicuba. Kadang-kadang kita juga boleh mendapat pek sampel dari majalah-majalah fesyen dan kecantikan. 

4) Jumpa pakar - Tidak semua masalah kulit boleh diselesaikan sendiri dengan memakai produk tertentu di rumah. Sebaik-baiknya berjumpa dengan pakar kecantikan kulit di salun sekiranya anda mempunyai masalah kulit yang serius seperti kulit berjerawat, kulit berjeragat dan sensitif. Mereka lebih arif tentang kulit anda dan terdapat teknologi terkini untuk menyelesaikan masalah kulit yang lebih serius. 

5) Produk berdaftar - Paling penting pastikan produk yang dibeli itu sudah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Produk yang selamat digunakan perlu mempunyai nombor notifikasi dari KKM. Nombor notifikasi bermula dengan NOTxxxx. Pengguna boleh menyemak status pendaftaran produk tersebut di laman web http://portal.bpfk.gov.my/ sebelum membelinya di pasaran.