Wednesday 16 March 2016

Aeon Shah Alam Telah Dibuka

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Aznita Zawawee

Akhirnya pada 10hb Mac 2016, Aeon Shah Alam secara rasminya telah dibuka kepada orang ramai. Yang pasti, kawasan rumah saya akan berubah menjadi jalan sesak akibat kewujudan pasaraya ini. Memang dekat dengan rumah dan hampir tiap-tiap hari saya menjengah ke sini semenjak ia dibuka. Bukan apa, dah lama orang Shah Alam tunggu nak ada pasaraya besar di sini. Itu yang terlebih teruja.

Yang pasti, lagi mudahlah urusan hendak mencari tempat makan di kala kemalasan melanda untuk memasak di rumah. Sekali-sekala apa salahnya kan?  Apa yang penting, semua kedai yang saya suka ada di Aeon Shah Alam seperti Daiso, H&M, Uniqlo dan Auntie Anne's. Tak payah dah pergi jauh-jauh untuk 'shopping' raya nanti.

Masih mengekal syarat tiada pawagam di tengah bandar Shah Alam, jadi tak payah susah-susah nak cari GSC ke TGV ke di Aeon ini. Memang tiada pawagam. Orang Shah Alam kalau mahu menonton wayang, silalah ke Space U8 atau ke Setia City Mall seperti biasa ya :)

Saya belanja satu gambar untuk anda semua :) 


Tuesday 15 March 2016

Boboiboy The Movie

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Aznita Zawawee

Assalamualaikum w.b.t.

Agak lama tidak menulis di sini. Kalau nak kata sibuk, hari-hari pun sibuk sebenarnya. Semenjak menjadi suri rumah sepenuh masa ini, jadual harian saya masih kelam kabut. Kerja di rumah ini seakan-akan terlalu banyak nak kena 'cover'. Yang pasti lagi penat jika dibandingkan ketika saya masih bekerja dahulu. Kadang-kadang 'stress' juga dibuatnya :( :(

Mungkin saya masih belum pandai membahagikan masa antara kerja rumah dan mencari ruang waktu untuk menulis. Inshaa Allah saya akan cuba perbaiki lagi. 

Terpanjang pula mukadimah saya hari ini :)

Sekarang ini memang musim demam cerita Boboiboy di kalangan anak-anak sekolah rendah. Saya pasti anak-anak anda pun begitu kan? Sabtu yang lepas, saya bawa anak-anak pergi menonton filem tersebut di GSC, Setia City Mall. Saya menunaikan janji saya untuk membawa mereka setelah peperiksaan tamat dan juga bersempena dengan cuti sekolah. Dengar cerita kutipan filem ini sudah melebihi RM 3 juta walaupun tidak sehebat kutipan Ola Bola. Tetap rasa bangga juga apabila karya tempatan masih mendapat tempat di hati orang kita.

Filem ini memang terbaik dan ibu-bapa pun boleh sama-sama melayan cerita ini dengan anak-anak. Dijamin anda tidak akan bosan sebab filem ini turut menyelitkan unsur komedi ringan. Saya memang suka watak Si Papa Zola atau Cikgu Papa dalam cerita ini. Memang lawak dan tidak kering gusi melihat telatahnya.

Apa yang lebih seronok sebenarnya apabila melihat kegembiraan pada wajah anak-anak semasa dan selepas menonton filem ini. Betapa 'small gesture' ini dapat memberikan kepuasan buat anak-anak kecil ini. Inilah ganjaran buat mereka hasil terperap di rumah selama seminggu berhempas pulas belajar untuk menjawab ujian. 

OK, kita tunggu pula hasil ujian nanti macam mana pula ya anak-anak :)






Tuesday 8 March 2016

Tuntutan Produk Kosmetik

Teks: Aznita Zawawee
Foto: https://pixabay.com



Sesuatu produk kosmetik tidak boleh mengandungi tuntutan produk atau 'product claims' yang melampau dan berlebihan.

Contoh-contoh  tuntutan yang tidak dibenarkan:

  • mampu menghapuskan jerawat
  • boleh menghentikan kesan penuaan
  • menghapuskan kelmumur
  • memberhentikan pembentukan bintik hitam
  • cerah dalam masa 3 hari (jika tuntutan ini dibuat, pihak syarikat perlu membuktikannya secara ujian klinikal untuk menyokong kenyataan tersebut)
  • boleh menghapuskan bau badan
Jika dilihat sekali imbas, ia kelihatan seperti tuntutan yang biasa kita dengar atau lihat. Tuntutan di atas tidak diterima oleh pihak berkuasa kerana ia seolah-olah memberikan gambaran produk mereka memberikan kesan 100%. Tuntutan produk tidak boleh dibuat untuk menunjukkan sesuatu masalah kulit itu dapat diselesaikan sepenuhnya. Contoh seperti perkataan hapuskan, hilangkan, atau menghentikan sesuatu masalah kulit.

Walaubagaimanapun, tuntutan di atas boleh dilembutkan lagi penggunaannya menjadi seperti:
  • pencuci ini sesuai untuk kulit berjerawat / melindungi kulit berjerawat
  • membantu melambatkan kesan penuaan
  • membersihkan kepingan kelmumur
  • membantu mencerahkan kesan jeragat

Tuntutan yang dibuat haruslah bersesuaian dengan fungsi atau jenis produk. Ianya tidak boleh lari dari konteks definisi produk kosmetik itu sendiri. Ia bertujuan untuk membersihkan, mewangi, melindungi, mengubah rupa / memperbaiki bau badan dan /atau mengekalkan tubuh dalam keadaan baik.

Produk kosmetik juga tidak boleh mempunyai sebarang tuntutan perubatan atau kesihatan.

Contohnya:
  • Krim ini boleh menghalang atau merawat kanser kulit
  • Penawar rabun mata (toner mata)
Biasanya produk kosmetik jarang mengandungi tuntutan kesihatan atau perubatan seperti di atas. Kebanyakan kesalahan yang dilakukan oleh pengusaha kosmetik ialah mereka cenderung membuat tuntutan kosmetik yang berlebihan.

Hati-hati ya, jangan sampai tertangkap :)  


Saturday 5 March 2016

Kategori Produk Makanan

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Google



Ada 5 kategori produk makanan yang dikawal oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) iaitu:

1) Produk berasaskan makanan dengan / tanpa campuran bahan aktif (herba, vitamin & mineral)
  • minuman segera campuran gula /krimer (kopi, susu, soya)
  • pati haiwan (cecair)
  • produk  minuman tanpa perlu bancuh (tiada dos pengambilan)
  • produk kordial (pati jus kurma, anggur)
  • produk cuka (cukai epal, cuka kurma)
2) Produk minuman tenaga, minuman isotonik, produk makanan untuk sukan dan produk makanan untuk tujuan khas

3) Produk dalam bentuk konvensional makanan seperti biskut, kek, gula-gula, 'gummies'

4) Produk untuk kegunaan masakan / sediaan masakan seperti minyak zaitun, minyak kelapa, serbuk kunyit

5) Produk herba dan rempah ratus dalam bentuk mentah

* Sumber maklumat di atas adalah dari laman web https: http://portal.bpfk.gov.my/.

Jadi anda tidak perlu mendaftarkan produk anda sebagai ubat sekiranya produk yang dikeluarkan oleh syaikat anda berasaskan makanan seperti di atas dan mengandungi bahan aktif (vitamin, mineral dan herba) dan tidak mengandungi senarai bahan negatif untuk produk makanan. Produk makanan tidak boleh mengandungi tuntutabn perubatan atau kesihatan. Produk makanan juga tidak boleh dihasilkan dalam bentuk dos farmaseutkal seperti kapsul, tablet, 'softgel' dan 'sublingual'.


Thursday 3 March 2016

Pengkelasan Produk Interfasa Makanan-Ubat

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Sumber dari https://kpkesihatan.com

Produk interfasa makanan-ubat atau lebih dikenali sebagai 'Food Drug-Interphase (FDI)' ialah produk yang mempunyai kombinasi formulasi bahan makanan dan bahan aktif seperti vitamin, mineral dan herba. Contohnya seperti Kopi Tongkat Ali dan Jus Kacip Fatimah. Produk FDI ini perlu dinilai sama ada ia akan dikawal sebagai produk makanan atau sebagai ubat. Jika dahulu, penentuan pengkelasan produk FDI ini dibuat dengan mengira peratusan bahan aktif  dengan konsep 20:80. Produk FDI akan dikawal sebagai ubat sekiranya jumlah bahan aktif melebihi 20% daripada jumlah keseluruhan formula produk.

Pada tahun 2014, Jawatankuasa FDI telah memutuskan bahawa konsep 20:80 ini sudah tidak boleh digunapakai lagi. Kini kategori produk makanan dinilai mengikut presentasi produk dan fungsinya sebagai bahan makanan. Produk FDI akan dikawal sebagai produk makanan jika ianya tidak mengandungi bahan aktif seperti yang tersenarai di dalam 'Negative List for Food' dan juga tidak mengandungi sebarang tuntutan perubatan atau kesihatan.

Antara bahan yang tidak dibenarkan untuk produk makanan ialah:
  • Gamat
  • Placenta
  • Red Yeast Rice
  • Natto Extract
  • Gamma-amino Butyric Acid (GABA)
  • Pearl
  • Glucosamine
  • Glutathione
  • Hyaluronic Acid
  • Resveratrol
Anda boleh merujuk senarai penuh bahan yang di larang sebagai bahan makanan ini di laman web http://portal.bpfk.gov.my .

Kepada pengusaha makanan kesihatan, sila semak kembali status produk anda mungkin ada sesetengah produk makanan anda sudah berubah ke kategori ubat terutamanya produk yang mengandungi glutathione dan ekstrak mutiara.