Friday 26 February 2016

3 Sebab Utama Produk Jualan 'Online' Dirampas

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Sumber Google




Ada 3 sebab utama produk kesihatan dan kosmetik sering menjadi sasaran rampasan pihak berkuasa.

1) Produk Tidak Berdaftar

Pastikan produk berdaftar jika ingin menjual atau menghasilkan produk sendiri. Ini sangat jelas dan sering ditekankan oleh pihak KKM. Kita tahu akan keperluan mandatori ini tapi jarang kita ambil berat. Mungkin kerana kesan daripada promosi dan testimoni yang meyakinkan serta ditambah lagi dengan pengaruh selebriti terkenal yang dilantik untuk memasarkan produk membuatkan orang ramai tidak mengendahkan hal ini.

Syarat ini umumnya memang telah dipatuhi oleh hampir semua pengeluar atau pengilang tempatan. Masalah sering timbul apabila pihak syarikat membawa masuk produk dari luar negara.

2 contoh di bawah adalah senario yang lazim berlaku di dalam industri kecantikan.

Contoh 1:
Anda akan menjadi sasaran pihak berkuasa jika ada menjual produk suntikan Vitamin C. Untuk makluman semua, Vitamin C tidak diluluskan oleh pihak KKM untuk digunakan sebagai suntikan bagi tujuan kosmetik. Anda sendiri mendedahkan risiko untuk produk anda dirampas sekiranya anda menjual produk ini secara 'online'. Sudah banyak kes berlaku dan rampasan yang telah dibuat ke atas produk vitamin C ini.

Contoh 2:
Ada pengusaha minyak wangi mengatakan produk mereka tidak perlu berdaftar kerana ianya bukan produk kosmetik seperti yang telah diberitahu oleh pengilang. Jika dilihat definisi produk kosmetik, minyak wangi adalah salah satu daripada produk kosmetik kerana fungsinya adalah untuk mewangikan bahagian tubuh kita. Bayangkan sikap tidak bertanggungjawab pihak pengilang untuk mengaut keuntungan sampai sanggup menipu pengusaha kosmetik yang melantik mereka sebagai pengilang.

2) Produk bercampur racun berjadual

Biasanya produk kosmetik yang bercampur dengan hidrokuinon dan merkuri. Produk pelansingan bercampur dengan sibutramine dan ubat tenaga seperti tongkat ali yang bercampur dengan sildenafil (viagra).

Jika anda menjual produk kosmetik, berhati-hati dengan produk untuk memutihkan kulit muka dan juga produk yang dikhususkan untuk bayi dan kanak-kanak. Kategori produk sebegini memang akan dipantau sekerasnya oleh pihak berkuasa.

3) Produk tiruan

Banyak kes berlaku untuk produk kosmetik kerana ada pihak yang bersifat menangguk di air yang keruh kesan dari populariti produk orang lain. Mereka meniru produk orang lain dan menawarkan dengan harga yang lebih murah. Sebagai pembeli, berhati-hati dengan harga murah yang ditawarkan dan seeloknya rujuk kepada syarikat yang menjual produk tersebut untuk sebarang penjelasan.

Berhati-hati jika anda menjual produk berikut:

  • Krim pemutihan atau anti-penuaan
  • Ubat pelansingan badan
  • Minuman pemberi tenaga
  • Ubat peransang seks

4 jenis produk ini cenderung untuk mendatangkan pelbagai masalah kepada pengguna. Seelok-eloknya lantik syarikat yang tidak berkait dengan pengilang untuk menjalankan ujian makmal yang berkaitan.

Gunalah perkhidmatan konsultan untuk jangka masa pendek atau 'on project basis' sekiranya syarikat tidak mampu untuk melantik eksekutif regulatori mereka sendiri,  Serap ilmu sebanyak mana yang boleh ketika menggunakan perkhidmatan konsultan ini supaya anda boleh melakukannya sendiri di masa hadapan.

Monday 22 February 2016

Tanggungjawab Syarikat Kosmetik

Teks: Aznita Zawawee
Foto: http://www.thebluediamondgallery.com


Jika anda memiliki syarikat kosmetik, berikut adalah senarai semak tanggungjawab yang anda harus ketahui:

  • Memohon nombor notifikasi produk kosmetik
  • Kilang yang mengeluarkan produk anda patuh GMP
  • Memastikan PIF tersedia
  • Menyimpan maklumat / laporan aktiviti panggilbalik
  • Melaporkan kesan adverse (jika ada)
  • Melaporkan pindaan yang dibuat pada maklumat produk bernotifikasi seperti pertukaran label atau alamat premis.
  • Pastikan produk adalah selamat, berkualiti dan efektif
 

Product Information File (PIF)

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Sumber dari pixabay.com

Kali ini saya mahu kongsikan sedikit maklumat berkaitan Fail Informasi Produk atau 'Product Information File (PIF)' bagi produk kosmetik. Saya pasti ramai pengusaha kosmetik di luar sana tidak berapa pasti akan keperluan PIF ini sebagai salah satu syarat untuk memasarkan produk kosmetik di Malaysia. Ini kerana syarat ini lebih bersifat 'self-regulated' di mana ia tidak diperlukan oleh pihak Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) semasa anda membuat permohonan notifikasi produk secara atas talian. Pemohon hanya perlu membuat komitmen untuk menyediakan PIF dan mempastikan dokumen ini tersedia apabila ia diminta oleh pihak BPFK. PIF ini perlu disimpan di premis yang bertanggungjawab memasarkan produk kosmetik tersebut.



PIF mengandungi maklumat berkaitan keselamatan, kualiti dan keberkesanan sesuatu produk kosmetik yang ingin dipasarkan. Ia menerangkan segala aspek berkaitan bahan yang digunakan di dalam produk kosmetik dengan lebih terperinci. Ini termasuk data sokongan bagi sesetengah tuntutan produk yang dibuat, formula, proses pengeluaran dan spesifikasi bahan mentah serta produk siap. PIF boleh disediakan dalam bentuk 'hard copy' atau 'soft copy' mengikut kehendak syarikat asalkan ia mudah diakses oleh pihak BPFK. Kandungan maklumat di dalam PIF hendaklah sentiasa dikemaskinikan untuk mengelak daripada sebarang masalah berlaku.

Kepada pengusaha kosmetik, jangan risau kerana kebiasaannya PIF ini disediakan oleh pihak pengilang kerana mereka lebih arif tentang bahagian teknikal produk. Selalunya pihak BPFK akan memberi notis awal sekiranya mereka ingin datang untuk membuat audit ke premis anda kecuali jika berlaku aduan pelanggan yang kritikal. Tindakan mungkin diambil dalam tempoh yang singkat jadi seeloknya di pihak anda perlu sentiasa bersedia dari segi dokumentasi dengan selengkapnya. Bak kata pepatah Melayu, sediakan payung sebelum hujan :)



Friday 12 February 2016

Peraturan Pelabelan Kosmetik Malaysia

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Aznita Zawawee

Assalamualaikum w.b.t.

Seperti yang dijanjikan, saya akan kongsikan syarat-syarat untuk melabelkan produk kosmetik yang telah ditetapkan oleh pihak Direktif Kosmetik ASEAN.

Apa yang perlu ada pada label kosmetik:
  • Nama & fungsi produk kecuali ianya sudah jelas difahami berdasarkan presentasi produk. (Contoh minyak wangi, tidak perlu dinyatakan fungsinya lagi sebab ianya sudah jelas tujuan penggunaannya untuk apa)
  • Cara penggunaan (Tidak perlu jika ia sudah jelas difahami berdasarkan presentasi produk. Cth: minyak wangi, sabun mandi)
  • Senarai penuh bahan-bahan yang digunakan
  • Negara pengeluar (Cth: Made in Malaysia)
  • Nama dan alamat syarikat atau individu yang bertanggungjawab memasarkan produk tersebut.
  • Berat (g) / Kuantiti (ml)
  • Nombor kelompok /batch number
  • Tarikh pengilangan dan tarikh luput
  • Amaran khas berkaitan produk (jika ada)
Kesemua informasi di atas perlu ada pada label kosmetik dan boleh dicetak secara berasingan pada 'pamphlets', 'leaflets', 'display panel' atau 'hang tags' jika tidak muat dinyatakan pada label produk tersebut.

Nama produk dan nombor kelompok wajib ada pada label sekiranya ruang adalah terhad.

Label perlu menggunakan Bahasa Inggeris atau/dan Bahasa Malaysia.

Contoh produk yang mematuhi syarat pelabelan di atas:




Sekarang cuba semak produk kosmetik yang anda jual sama ada memenuhi kriteria di atas atau tidak. Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan produk tidak memenuhi syarat di atas terutamanya produk yang dijual secara atas talian. Nasihat saya rujuk balik kepada pihak pengilang, mana tahu mereka ada mendapat kebenaran 'istimewa' dari pihak berkuasa. Tidak salah bertanya asalkan tidak menimbulkan masalah di kemudian hari. Betul tak? 

Memiliki Produk Jenama Sendiri

Teks: Aznita Zawawee
Foto: http://www.belfasttelegraph.co.uk

Hari ini saya mahu kongsikan sedikit informasi khusus bagi mereka yang berminat untuk memiliki jenama kosmetik mereka sendiri. Sekarang memang sangat mudah untuk mendapatkan servis sebegini dan ada yang menawarkan pakej dengan harga yang sangat berpatutan. Jangan terburu-buru dan buatlah sedikit kajian sebelum bertindak. Saya amat galakkan pengusaha di luar sana untuk mempunyai sedikit ilmu berkaitan regulatori supaya tidak terpedaya dengan pengilang yang tidak beretika.


OEM berasal dari perkataan 'Original Equipment Manufacturer' yang bermaksud pihak pengilang menghasilkan sesuatu produk untuk syarikat orang lain. Kilang OEM hanya mengeluarkan produk tetapi segala urusan pemasaran dan penjualan dilakukan oleh pihak syarikat kosmetik itu sendiri. Kelebihannya, pengusaha tidak perlu memiliki kilang sendiri untuk menghasilkan produk di bawah jenama mereka. Tentunya ia lebih mudah dan jimat.

Secara ringkasnya, pengusaha perlu tahu akan:
  • Status GMP pihak pengilang.
  • Status HALAL (jika ada). Bagi produk kosmetik, pensijilan halal diberikan ke atas produk dan bukannya ke atas premis.  
  • Nombor notifikasi dari KKM jika permohonan dibuat oleh pihak pengilang. Anda boleh juga semak sendiri di laman web KKM.
  • Peraturan pelabelan produk. 
  • 'Product Information File' atau 'PIF'. Wajib ada bagi setiap produk kosmetik. 
  • Formula perlu bebas hidrokuinon /merkuri terutamanya dalam formula krim malam. Berhati-hati apabila mereka mencadangkan sesuatu formula yang boleh memberikan kesan yang cepat atau drastik. 
  • Dokumen berkaitan teknikal seperti PIF, formula dan label yang berdaftar. Perlu simpan satu salinan anda sendiri untuk rujukan.
Inshaa Allah, saya akan huraikan satu-persatu 'point' di atas di dalam entri yang berikutnya. 

Sekiranya ada yang ingin bertanya lebih lanjut, boleh emelkan terus ke aznitazawawee@gmail.com.