Wednesday 27 April 2016

Tips Bercuti Ke Krabi 2016

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Aznita Zawawee

Sebenarnya sudah lama nak kongsikan tentang percutian kami sekeluarga ke Krabi sempena cuti sekolah baru-baru ini. Percutian kali ini lagi sempoi berbanding percutian kami ke Perth tahun lepas. Persiapan ala kadar sahaja dan hanya menempah bilik penginapan lebih kurang seminggu sebelum berlepas ke sana. Kebanyakan bilik sudah hampir penuh ditempah memandang tarikh yang kami pergi merupakan musim puncak di Krabi. Seelok-eloknya cuba 'google' tentang bilik penginapan lebih awal untuk mencari tawaran terbaik.

Di Krabi, kami tinggal di hotel Baywatch Boutique Hotel Aonang yang mana lokasi hotel ini memang terbaik. Kenapa saya cakap terbaik? Lokasi hotel ini sangat dekat dengan pantai, restoran makanan halal yang sedap, tempat mengurut dan juga kedai-kedai menjual cenderamata. Cuma hotel yang kami duduk ini cuma bertaraf 3 bintang. Lagipun banyak masa habis di luar dan hotel ini memang menjadi tempat tidur sahaja. Kami tinggal di sana selama 4 hari 3 malam dengan kos RM715.


Aktiviti yang perlu anda lakukan di sinilah tentulah aktiviti pantai, snorkeling, 'island hopping' dan juga lawatan safari. Usah risau jika anda belum menempah sebarang pakej lawatan ini kerana di sepanjang Pantai Aonang, terdapat banyak kaunter khidmat pelancongan. Anda hanya perlu pilih pakej tawaran yang terbaik sahaja. Di Krabi terdapat banyak pulau yang menjadi tumpuan pelancong dan yang paling popular ialah Phi Phi Island. Kami tidak mengambil pakej ke sana kerana pulau itu berada agak jauh. Lawatan ke safari juga kami abaikan kerana cuaca agak panas ketika itu.

Jadi kami memilih pakej 'Hong Island Tour' untuk hari kedua dan '4 Islands Tour' untuk hari ketiga. 'Hong Island Tour' lebih sesuai untuk kanak-kanak  kerana aktiviti snorkeling hanya dilakukan di tepi pantai dan bukannya di laut yang dalam. Pakej ini juga akan singgah ke beberapa tempat menarik berdekatan seperti Hong Island Beach, Hong Lagoon, Lading Island dan Prakbia Island. Setiap pakej lawatan disediakan dengan makanan tengah hari yang sangat sedap. Pakej ini berharga 600 bhat untuk orang dewasa dan 400 bhat untuk kanak-kanak. Selain itu terdapat juga bayaran untuk masuk ke pulau ini sebanyak 300 bhat bagi orang dewasa dan 100 bhat untuk kanak-kanak.

Hari ketiga, kami memilih pakej '4 Islands Tour' dan untuk pakej ini lebih murah berbanding pakej kami ke Hong Island. Untuk pakej dewasa ialah 400 bhat seorang dan untuk kanak-kanak kamimendapat harga 200 bhat. Seperti biasa harga untuk memasuki pulau dibayar secara beransingan kepada pemandu pelancong yang bertugas. Saya sarankan anda membawa tikar sekali untuk selesa makan dan berehat di tepi pantai. Untuk anak-anak, mereka hanya memakai baju mandi sepanjang lawatan ini. Saya dan suami juga tidak membawa pakaian tambahan.

Hari ke 4 kami tidak ke mana-mana dan hanya menghabiskan masa di Pantai Aonang. Anda perlu cuba makanan tempatan seperti tomyam, phad thai, thai ice tea dan juga 'banana pancake'. Memang sangat sedap dan tomyam di Krabi agak berbeza dari tomyam yang kita biasa makan di Malaysia. Selain itu, anda juga boleh mencuba perkhidmatan urutan badan yang sangat murah dengan servis yang sangat tip top. Hanya berharga 200 - 250 bhat sejam. Saya hanya sempat beurut sebanyak 2 kali sahaja.

Untuk membeli cenderamata, ramai yang menyarankan ke pasar malam Krabi tetapi jadual kami agak padat dan tidak sempat untuk ke sana. Kami hanya membeli cenderamata di Pantai Aonang dan memang agak mahal berbanding membelinya di Bangkok.

Secara ringkasnya, percutian ke Krabi sangat sesuai untuk sekeluarga kerana banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama-sama. Selain itu faktor makanan juga amat penting kerana anak-anak akan mudah buat hal jika mereka lapar. Di Krabi, pilihan makanan halal memang banyak dan anda semua tidak perlu risau. Terlalu banyak untuk diterokai di Krabi dan sudah tentu kami akan kembali ke sana lagi untuk misi yang belum selesai. Inshaa Allah, jika ada rezeki :)




Rutin baru, jom bersenam!

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Aznita Zawawee

Masa mula-mula menjadi 'SAHM', memang saya berangan nak ke gim setiap hari. Itu juga antara azam untuk tahun 2016, jangan culas nak bersenam! Walaupun azam ini nampak klise tapi saya rasa semua orang perlu kekalkannya di dalam senarai azam tahun baru selagi kita belum mencapai tahap istiqamah. Lagipun bersenam memang bagus untuk kesihatan tubuh dan minda kita. Bukan mudah nak kekal istiqamah kan kawan-kawan?

Bila dah masuk tahun baru, saya hanya sempat 3 hari sahaja ke gim rasanya. Teruknya prestasiku, 3 kali je setakat ini. Ada sahaja alasan untuk tidak pergi ke gim. Bosan tiada teman dan penat sentiasa menjadi sebab utama. Duduk rumah pun penat tau. Mungkin saya tak berapa cekap lagi nak bahagikan masa apabila menjadi suri rumah sepenuh masa.

Setiap hari rutin saya bermula dari jam 6.20 pagi, dari menyiapkan anak sulung ke sekolah, anak bongsu ke tadika dan anak kedua ke sekolah sessi petang pula. Kebiasaannya jam 3 petang baru saya dapat berehat sebentar setelah menyelesaikan semua urusan rumah tangga. Selalunya tenaga saya pada waktu ini memang berada di tahap paling minima. Memang 'flat' lah orang cakap, nak keluar rumah pun malas jadinya.

Hari ini saya cuba tukarkan rutin saya sedikit. Bermula dengan bersenam dahulu di awal pagi selepas selesai urusan anak ke sekolah. Terima kasih kepada jiran-jiran yang mengajak saya bersenam pagi ini. Ada geng baru seronok kita nak bersenam kan? Sejujurnya saya tidak berapa mengenali jiran-jiran saya ini walaupun sudah lama tinggal di sini. Bila mereka ajak saya 'join' pagi ni tanpa fikir panjang saya terus besetuju sahaja. Inilah masa nak beramah-mesra dengan jiran-jiran dan lagi pun kita yang tidak bekerja kena pandai mencuri masa untuk bersosial juga. Kalau dunia kita hanya tertumpu kepada anak-anak dan kerja rumah pun tidak elok sebenarnya. Lama-lama boleh jadi stres pula :)

Hasilnya pagi ini, bersenam pun saya dapat dan pada waktu yang sama berkenalan pula dengan 4 orang rakan baru. Secara tidak sengaja saya dapat membina 'networking' dengan jiran-jiran juga yang rata-ratanya adalah  'SAHM' dan WAHM'. Mana tahu saya dapt belajar sesuatu dari mereka untuk dijadikan panduan nanti. Maklumlah saya kan budak baru belajar :) Saya rasa kejayaan kecil saya hari ini adalah dapat keluar dari rasa segan mahu bercampur dengan orang lain. Oh ya, Aznita Zawawee ini memang penyegan orangnya. Saya ini memang seseorang yang sukar didekati tetapi bila dah kenal, pasti anda akan jatuh hati.

Abaikan muka sememeh saya tu. Ini adalah larian pertama saya setelah beberapa tahun menjalani gaya hidup sedentari. Rasa macam nak pengsan :) 

Sunday 24 April 2016

Tips membeli rumah pertama

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Aznita Zawawee

Saya pasti semua orang impikan untuk memiliki rumah sendiri tetapi disebabkan harga rumah yang semakin tinggi nilainya membuatkan orang lebih suka menyewa daripada membelinya. Ini adalah pilihan masing-masing kerana kita sendiri tahu akan kemampuan kewangan kita sendiri. Cuma kalau diingat kembali waktu membeli rumah pertama dahulu juga saya dan suami merasakan yang kami tidak mampu sebenarnya. Belum cuba belum tau kan?

Sebenarnya rumah pertama tidak semestinya rumah idaman kita kerana mungkin kekangan kewangan semasa membuatkan pilihan agak terbatas. Rumah pertama yang saya dan suami beli merupakan sebuah rumah teres satu tingkat di Shah Alam. Berkeluasan tanah 1650 kaki persegi pada harga RM140K. Ia merupakan sebuah rumah lama yang dijual pada harga bawah pasaran. Kondisi fizikal memang bukan yang terbaik. Namun, fokus utama ketika itu bukan untuk mencari rumah idaman tetapi mencari rumah mampu milik, akses yang bagus dan dekat untuk ke tempat kerja.

Setelah bersetuju untuk membeli rumah, kami perlu pula mencari duit untuk membayar deposit. Pening kepala juga kami waktu itu dengan pendapatan tetap kami berdua tidak sampai RM4K sebulan. Tiada simpanan dan baru sahaja mempunyai seorang anak. Namun keinginan untuk membeli rumah mengatasi segalanya dan akhirnya kami teruskan hasrat tersebut dengan mengeluarkan simpanan KWSP dan bantuan pinjaman dari tempat suami bekerja. Pinjaman tersebut digunakan untuk menyediakan deposit sebanyak 10% termasuk 5% yuran guaman.

Apa yang suami saya selalu tekankan, kita bukan membeli rumah, kita membeli lokasi rumah. We don't buy a house, we buy the location. Rumah memang tidak cantik tetapi segala kemudahan dan akses adalah yang terbaik. Membeli rumah itu harus seperti mengukur baju di badan sendiri. Ikut kemampuan dan sekurang-kurangnya ada faktor yang kukuh untuk menyokong keputusan kita. Dalam kes kami faktor akses dan kemudahan itu adalah yang lebih utama.

Saya ada seorang kawan yang membeli rumah pertamanya di Nilai kerana alasannya ia merupakan rumah yang cantik dan besar pada harga yang sangat menarik. Bayangkan beliau berulang-alik ke tempat kerja di Shah Alam setiap hari. Semata-mata mengejar rumah idaman tetapi akhirnya rumah cantik itu ditinggalkan begitu sahaja kerana sudah tidak larat berulang-alik ke tempat kerja. Fikir masak-masak sebelum membuat keputusan drastik sebegini. Hendak dijual pun susah kerana faktor lokasinya,

Kepada yang masih belum membeli rumah, carilah rumah mengikut kemampuan masing-masing. Sekurang-kurangnya kita sudah ada rumah sendiri walaupun ianya hanya sebuah rumah flat atau unit studio. Apabila rezeki bertambah, jadikan rumah pertama itu deposit kita untuk membeli rumah yang kedua pula. Rumah pertama kami telah dijual pada harga RM208K dan keuntungan hasil jualan rumah itu kami jadikan deposit untuk rumah yang kedua. Rumah kedua ini pula dibeli pada harga RM250K pada tahun 2011. Kini nilaian rumah ini sudah mencecah sehingga ke RM550K dalam masa 5 tahun sahaja. Walaupun harga agak tinggi tapi masih mendapat permintaan di kalangan pembeli.

Jika tidak berusaha mahu membeli rumah pada hari ini, mungkin agak sukar untuk membelinya pada masa akan datang. Secara asasnya harga rumah sentiasa akan naik walaupun banyak spekulasi mengatakan ianya akan merundum sedikit masa lagi. Cuba dahulukan simpanan bulanan kita untuk membeli rumah sebelum kita berbelanja ke arah yang lain. Mudah-mudahan kita mampu membayar duit deposit dengan sedikit wang simpanan sendiri bersama-sama dengan wang simpanan KWSP (Akaun 2).

Sekiranya anda mahu mencari rumah, ingin menjual rumah atau bertanyakan pendapat tentang perihal membeli rumah, bolehlah hantar ke emel saya; aznitazawawee@gmail.com. Inshaa Allah saya dan suami boleh membantu kerana bidang hartanah adalah kepakaran suami saya.


Kenangan di rumah lama :) 


Ini gambar di rumah kami sekarang :)

Friday 22 April 2016

Jual Produk Kosmetik Secara Atas Talian

Teks; Aznita Zawawee
Foto: https://pixabay.com



Untuk mula menjual produk kosmetik secara atas talian, apa yang paling penting anda selidik dahulu tentang status notifikasi produk. Cuba dapatkan maklumat sebanyak mungkin dari pihak pembekal. Produk yang laku di pasaran tidak semestinya selamat untuk digunakan. Ianya tidak mendatangkan masalah sekiranya produk adalah keluaran tempatan kerana ia lebih mudah untuk kita selidiki. Cuba dapatkan dari pengedar yang sah bagi mengelak daripada mendapat produk tiruan.

Produk bernotifikasi boleh di pasarkan lebih jauh dan segmen pelanggan anda akan lebih meluas. Kini sudah ramai pelanggan yang semakin bijak apabila membuat pilihan. Mereka juga sudah tidak mudah percaya akan testimoni yang memperlihatkan keputusan yang melampau. Mungkin anda akan terfikir produk notifikasi ini tidak terlalu penting kerana ramai yang berjaya menjual produk tidak bernotifikasi. Sehingga kini perniagaan mereka masih kekal dan berjaya. Ini adalah pilihan mereka dan risiko yang mereka berani tanggung.

Sesuatu produk itu akan mengambil masa sebelum kita dapat merasai kesannya. Cuba tingkatkan kesedaran pengguna untuk lebih mementingkan kesihatan kulit berbanding kulit putih. Promosikan produk yang berasaskan bahan semulajadi bukannya produk beracun. Sejujurnya saya tidak pernah mempercayai sebarang produk yang boleh memberi kesan dalam masa yang singkat. Beri masa untuk kulit serasi dengan produk. Sesuatu produk itu adalah produk yang bagus selagi ia berupaya mengekalkan kesihatan kulit dan tidak menimbulkan masalah seperti jerawat atau jeragat yang lebih teruk. Jika ia boleh mencerahkan kulit maka itu adalah suatu bonus.



Wednesday 13 April 2016

Produk kosmetik buatan sendiri ('Homemade Cosmetics')

Teks: Aznita Zawawee
Foto: https://pixabay.com


Jika diperhatikan sekarang, salah satu jenis produk kosmetik yang kian meningkat popular ialah produk kosmetik buatan sendiri di rumah atau dikenali sebagai 'homemade cosmetic'. Saya kurang pasti bagaimana pihak berkuasa menangani isu penjulan produk kosmetik 'homemade' ini. Jika ada yang bertanya bagaimana mahu mendapatkan sijil notifikasi produk sebegini, jawapan saya tidak boleh. Ini mengikut pemahaman saya terhadap garispanduan notifikasi produk kosmetik itu sendiri.

Produk kosmetik sememangnya perlu berdaftar dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia tetapi pihak pengilang perlu mematuhi syarat Amalan Pengilangan Baik (APB) ataupun 'Good Manufacturing Practise' (GMP). Sudah tentu produk 'homemade' ini tidak menepati syarat ini kerana ia dibuat hanya di rumah. 

Produk mereka akan hilang statusnya sebagai produk 'homemade' sekiranya terpaksa mencari pengilang berstatus GMP untuk mendapatkan nombor notifikasi produk. Saya faham mereka yang menghasilkan produk kosmetik 'homemade' ini bermula secara 'suka-suka' dan mahu menghasilkan produk yang berunsurkan semulajadi yang bebas bahan kimia. 

Ini semestinya sesuatu yang amat baik dan kreatif tetapi haruslah diingat setiap cabang industri itu ada kekangan regulatorinya sendiri. Industri kosmetik lebih terbatas dan tidak sama dengan produk makanan yang lebih longgar cara kawalannya.

Semuanya terserah kepada pengusaha bagaimana mereka mahu menjalankan perniagaan mereka. Jika produk mempunyai nombor notifikasi, pasaran lebih terbuka luas dan kepercayan pengguna lebih meningkat.

Tuesday 5 April 2016

Bahaya Suntikan Vitamin C

Teks: Aznita Zawawee
Foto: https://pixabay.com

Rindu hendak berceloteh di blog ini tetapi sesungguhnya masa itu memang amat mencemburui saya :) :) 
Pejam celik, pejam celik, kita sudah hampir memasuki suku pertama di tahun 2016. Betapa pantasnya masa berlalu. Masih banyak agenda yang ingin dilakukan semoga semuanya dipermudahkan. Amin.

Hari ini saya ingin menyentuh berkaitan suntikan vitamin C di dalam industri kecantikan. Semua wanita tahu akan peranan Vitamin C terhadap kesihatan kulit. Vitamin C merupakan sumber anti-oksidan, anti-penuaan dan agen pencerahan kulit. Suntikan Vitamin C sememangnya sangat digemari oleh mereka yang di dalam kategori 'beauty-conscious' kerana ingin kekal awet muda.  Siapa yang tidak mahu kelihatan cantikkan? 


Walaupun demikian, ramai juga yang sudah tahu bahawa Suntikan Vitamin C merupakan produk yang TIDAK berdaftar dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tujuan kosmetik.

Mengapa ia tidak boleh mendapat sijil notifikasi daripada KKM?

Ia tidak boleh didaftarkan kerana tidak memenuhi takrifan produk kosmetik itu sendiri. Perlu diingatkan bahawa sesuatu produk kosmetik itu hanya boleh digunakan pada lapisan permukaan kulit atau bahagian membran mukosa sahaja (kegunaan luaran). Suntikan tidak dikategorikan sebagai produk kosmetik.



Hanya doktor yang bertauliah sahaja yang boleh menggunakan ubat secara suntikan. Kesan radang pada tempat suntikan atau jangkitan kuman mungkin timbul sekiranya suntikan itu dilakukan oleh orang biasa termasuk pengusaha salun kecantikan.

Kesan buruk yang mungkin berlaku akibat terlebih dos ialah seperti ciri-birit, ketidakselesaan pada bahagian perut dan penyakit ginjal. Ianya juga boleh menyebabkan kematian sekiranya pengambilan suntikan vitamin C ini berlarutan dalam jangka masa yang lama.

Malangnya sumber produk ini memang mudah didapati di pasaran terutamanya melalui jualan secara atas talian. Kebiasaannya pembeli akan membawa suntikan vitamin C ini ke salun kecantikan atau klinik swasta yang menawarkan perkhidmatan suntikan ini. Rampasan yang telah dibuat oleh KKM juga semakin meningkat namun ia masih belum cukup untuk memberikan kesedaran kepada pihak pengusaha kosmetik dek kerana permintaan yang sangat tinggi. 

Jika hendak kekal cantik, cantiklah secara sihat. Masih banyak produk krim atau serum kecantikan yang berasaskan vitamin C di pasaran. Cubalah cari yang serasi. Sebaik-baiknya dapatkan nasihat dari doktor pakar kulit sebelum melakukan rawatan suntikan vitamin C ini.

Kepada pengusaha kosmetik atau peniaga atas talian, anda akan menjadi sasaran pihak KKM sekiranya mengiklankan produk ini secara terang-terangan di laman sosial. Berhati-hatilah sebelum terkena. 

Semoga ilmu ini bermanfaat buat semua. 

Sekian.