Saturday 21 May 2016

Iklan Produk Kosmetik dan Makanan Kesihatan

Teks: Aznita Zawawee
Foto: FB KKM

Peranan iklan itu memang amat penting bagi sesuatu produk termasuk produk kosmetik dan makanan kesihatan. Iklan kita perlulah berinformasi dan unik supaya mendapat perhatian dari pelanggan kita. Namun demikian, ianya juga perlu bersifat jujur dan tidak memperdayakan pihak pengguna. Bagi kedua-dua kategori di atas tidak memerlukan kebenaran dari pihak Lembaga Iklan Ubat tetapi perlu mematuhi beberapa kriteria penting supaya tidak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Antaranya;
  • Tiada tuntutan kesihatan dan perubatan. Terdapat 20 jenis penyakit yang tidak boleh diiklankan antaranya ialah kerosakan buah pinggang, kerosakan jantung, kencing manis, sawan, lumpuh, batuk kering, asma, kusta, barah, pekak, ketagihan dadah,hernia, penyakit mata, tekanan darah tinggi, sakit mental, kemandulan, frigiditi, lemah fungsi seks, AIDS dan penyakit kelamin.
  • Tidak boleh mengandungi tuntutan yang melampau kecuali pihak syarikat mempunyai data sokongan sekiranya dicabar oleh mana-mana pihak.
  • Tidak boleh menggunakan jaminan  atau pengesahan seperti 99% atau 100% berkesan.
  • Sesuatu iklan itu tidak boleh menimbulkan rasa ketakutan di kalangan pengguna, berunsurkan khurafat dan mempergunakan isu agama atau mempunyai kepentingan agama tertentu.
  • Testimoni yang benar dan sah.
Kebiasaannya iklan makanan kesihatan banyak melanggar larangan di atas kerana mengandungi rawatan dan pencegahan ke atas 20 jenis penyakit tersebut. Secara umumnya, langkah alternatif untuk menjaga kesihatan itu tidak salah asalkan anda memahami bagaimana fungsi sesuatu produk tu bertindak. Seeloknya rujuk kepada doktor sebelum mengambil sebarang produk kesihatan terutamanya jika anda sudah menghidapi penyakit tertentu.

Larangan ini juga dibuat demi menjaga kepentingan dan keselamatan pengguna sekiranya mereka telah disahkan menghidapi penyakit kronik tertentu. Bayangkan mereka ini tidak mahu meneruskan rawatan perubatan di hospital dan hanya begantung kepada produk kesihatan semata-mata. Sudah tentu keadaan ini boleh mengancam nyawa seseorang terutamanya jika sesuatu iklan itu dibuat dengan memberi jaminan kesembuhan 100% terhadap penyakit yang mereka sedang hidapi. 

Kesalahan mengiklankan 20 jenis penyakit ini boleh mengakibatkan pihak terlibat didenda sehingga RM 3000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. Ianya juga tidak terhad kepada pemilik iklan sahaja kerana mereka yang mencetak, mengedar dan menyiarkannya turut boleh di denda di bawah akta ini.

Jika semua pun tak boleh, apa lagi yang tinggal untuk diiklankan? Sudah tentu iklan kita tidak menarik jika tidak mengandungi ayat-ayat 'Power' yang biasa kita gunakan. Jangan bimbang kerana masih ada caranya. Saya akan kongsikan caranya di entri seterusnya :) 

*Sumber dari FB KKM



Saturday 7 May 2016

Produk yang tidak perlu berdaftar dengan PBKD

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Sumber dari Pixabay





Produk-produk yang tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD):

  • Herba mentah ('raw herbs') samada yang telah dikeringkan atau yang telah dipotong kecil-kecil
  • Agen diagnostik/ kit ujian untuk kegunaan in-vitro atau kegunaan makmal
  • Peranti perubatan ('medical device') Cth: sarung tangan, produk penjagaan kanta lekap, 'syringe', kondom dll.
  • Racun serangga
  • Produk bina badan (protein, 'whey', soya)
  • Makanan
  • Produk detergen dan pembasmi kuman untuk kegunaan dosmetik sahaja.
Namun demikian, ada di antara produk-produk ini dikawal oleh bahagian lain yang turut berada di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Ia tidak melibatkan sistem 'Quest' seperti yang terdapat di laman http://bpfk.moh.gov.my/ .

Peranti perubatan dikawal di bawah 'Medical Device Authority (MDA)' - boleh rujuk di sini:
http://www.mdb.gov.my/mdb/

Produk makanan pula dikawal oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKMM) - boleh rujuk di sini: http://fsq.moh.gov.my/v5/ms/

Produk ubat dan kosmetik dikawal oleh pihak PBKD.

Kesemua badan ini dikendalikan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Friday 6 May 2016

Produk Yang Perlu Berdaftar Dengan KKM

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Sumber dari pixabay

Produk berdaftar dan produk bernotifikasi adalah 2 jenis proses yang berbeza yang perlu kita fahami ketika ingin menjual sesuatu produk berkaitan kesihatan dan juga penjagaan kulit. Seperti yang telah saya terangkan dahulu, produk kosmetik perlu mendapatkan nombor notifikasi dari pihak berkuasa iaitu dari Kementerian Kesihtan Malaysia (KKM). Nombor notifikasi akan bermula dengan huruf NOTxxxxxxxx. Manakala produk yang perlu mendapatkan nombor pendaftaran pula terbahagi kepada 4 kategori jenis ubat iaitu:


  1. Produk yang mengandungi racun berjadual (ubat darah tinggi, ubat kencing manis)
  2. Produk 'Over-the-counter' atau 'OTC' (vitamin C, paracetamol, multi-vitamin)
  3. Produk Tradisional (homeopati, teh herba, 'royal jelly', spirulina dan lain-lain)
  4. Produk veterinar
Kesemua kategori produk di atas akan diberikan nombor MALxxxxxxxx setelah ia berjaya didaftarkan dengan pihak KKM. Proses pendaftaran lebih rumit berbanding dengan proses notifikasi produk. Lebih banyak dokumen teknikal yang diperlukan bagi menyokong proses pendaftaran ubat tersebut berbanding dengan produk kosmetik.


Untuk penjual atas talian, mereka hanya boleh menjual produk kategori 2 dan 3 seperti di atas. Tanggungjawab anda sebagai penjual, pastikan kesemua produk yang dijual mempunyai nombor MAL. Kadang-kadang ada sesetengah dari penjual mendapatkan produk dari luar negara yang tidak berdaftar dengan KKM. Jangan terlalu ghairah dengan keuntungan sehingga membahayakan kesihatan pengguna yang membelinya. Kita tidak tahu tentang proses penghasilan produk itu jika ianya tidak berdaftar. Itulah sebab kenapa sesuatu produk ubat itu perlu berdaftar dengan KKM supaya pihak berwajib dapat mempastikan sesuatu produk itu benar-benar selamat, berkesan dan berkualiti tinggi.

Jika produk itu sudah terbukti berkesan dan berjaya di luar negara, cuba usahakan dengan pihak pembekal untuk mendapatkan nombor MAL dengan KKM. Sesuatu produk yang bagus sudah pastinya dikeluarkan oleh pengilang yang mempunyai reputasi tinggi di dalam bidang ini. Sekurang-kurangnya kilang mereka bertaraf GMP supaya setiap produk yang dikeluarkan itu mempunyai rekod dokumentasi yang lengkap dan teratur. 



Jika anda lihat produk makanan yang bersifat 'self-regulated' mempunyai pelbagai cerita di sebalik pembuatannya. Minuman tenaga yang dicampur steroid, mi kuning yang mengandungi bahan kimia berbahaya dan kilang bihun yang sangat kotor serta menjijikkan. Ini berlaku kerana produk makanan tidak perlu berdaftar. Kawalan terhadap produk makanan yamg minima membuatkan mereka berani membuat pelbagai perkara yang melanggar etika. Bayangkan jika produk ubat juga dikawal seperti produk makanan. Maka banyaklah kilang-kilang ubat yang akan muncul dan semua orang pun boleh menghasilkan produk ubat sendiri. 

Ini tidak bermakna saya menyokong pula produk makanan itu perlu berdaftar di masa hadapan. Bukan itu yang saya maksudkan :) Jangan salah faham nanti ramai yang kecam saya pula. Cuma ingin menggambarkan sifat peniaga itu kadang-kadang hanya fokus kepada keuntungan semata-mata. Kita akan bersikap acuh tak acuh apabila sesuatu akta itu hanya dikawal secara 'self-regulated'. Ini mungkin berlaku jika produkubat itu tidak perlu berdaftar dengan KKM. 

Anda perlu tahu bahawa produk ubat ini mempunyai bahan aktif yang boleh bertindak secara optima pada kuantiti dos tertentu. Ia boleh mendatangkan kerosakan pada buah pinggang seseorang jika dos yang diberikan adalah berlebihan. Jika dos terkurang pula dari yang sepatutnya, ia tidak akan mendatangkan kesan yang seperti diharapkan. Melalui proses pendaftaran produk ubat, pihak KKM boleh memantau aspek ini dengan lebih mendalam. 

Jom kita menjadi peniaga atas talian yang beretika :) Tak susah kan?