Monday 22 February 2016

Product Information File (PIF)

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Sumber dari pixabay.com

Kali ini saya mahu kongsikan sedikit maklumat berkaitan Fail Informasi Produk atau 'Product Information File (PIF)' bagi produk kosmetik. Saya pasti ramai pengusaha kosmetik di luar sana tidak berapa pasti akan keperluan PIF ini sebagai salah satu syarat untuk memasarkan produk kosmetik di Malaysia. Ini kerana syarat ini lebih bersifat 'self-regulated' di mana ia tidak diperlukan oleh pihak Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) semasa anda membuat permohonan notifikasi produk secara atas talian. Pemohon hanya perlu membuat komitmen untuk menyediakan PIF dan mempastikan dokumen ini tersedia apabila ia diminta oleh pihak BPFK. PIF ini perlu disimpan di premis yang bertanggungjawab memasarkan produk kosmetik tersebut.



PIF mengandungi maklumat berkaitan keselamatan, kualiti dan keberkesanan sesuatu produk kosmetik yang ingin dipasarkan. Ia menerangkan segala aspek berkaitan bahan yang digunakan di dalam produk kosmetik dengan lebih terperinci. Ini termasuk data sokongan bagi sesetengah tuntutan produk yang dibuat, formula, proses pengeluaran dan spesifikasi bahan mentah serta produk siap. PIF boleh disediakan dalam bentuk 'hard copy' atau 'soft copy' mengikut kehendak syarikat asalkan ia mudah diakses oleh pihak BPFK. Kandungan maklumat di dalam PIF hendaklah sentiasa dikemaskinikan untuk mengelak daripada sebarang masalah berlaku.

Kepada pengusaha kosmetik, jangan risau kerana kebiasaannya PIF ini disediakan oleh pihak pengilang kerana mereka lebih arif tentang bahagian teknikal produk. Selalunya pihak BPFK akan memberi notis awal sekiranya mereka ingin datang untuk membuat audit ke premis anda kecuali jika berlaku aduan pelanggan yang kritikal. Tindakan mungkin diambil dalam tempoh yang singkat jadi seeloknya di pihak anda perlu sentiasa bersedia dari segi dokumentasi dengan selengkapnya. Bak kata pepatah Melayu, sediakan payung sebelum hujan :)



No comments:

Post a Comment