Friday 26 February 2016

3 Sebab Utama Produk Jualan 'Online' Dirampas

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Sumber Google




Ada 3 sebab utama produk kesihatan dan kosmetik sering menjadi sasaran rampasan pihak berkuasa.

1) Produk Tidak Berdaftar

Pastikan produk berdaftar jika ingin menjual atau menghasilkan produk sendiri. Ini sangat jelas dan sering ditekankan oleh pihak KKM. Kita tahu akan keperluan mandatori ini tapi jarang kita ambil berat. Mungkin kerana kesan daripada promosi dan testimoni yang meyakinkan serta ditambah lagi dengan pengaruh selebriti terkenal yang dilantik untuk memasarkan produk membuatkan orang ramai tidak mengendahkan hal ini.

Syarat ini umumnya memang telah dipatuhi oleh hampir semua pengeluar atau pengilang tempatan. Masalah sering timbul apabila pihak syarikat membawa masuk produk dari luar negara.

2 contoh di bawah adalah senario yang lazim berlaku di dalam industri kecantikan.

Contoh 1:
Anda akan menjadi sasaran pihak berkuasa jika ada menjual produk suntikan Vitamin C. Untuk makluman semua, Vitamin C tidak diluluskan oleh pihak KKM untuk digunakan sebagai suntikan bagi tujuan kosmetik. Anda sendiri mendedahkan risiko untuk produk anda dirampas sekiranya anda menjual produk ini secara 'online'. Sudah banyak kes berlaku dan rampasan yang telah dibuat ke atas produk vitamin C ini.

Contoh 2:
Ada pengusaha minyak wangi mengatakan produk mereka tidak perlu berdaftar kerana ianya bukan produk kosmetik seperti yang telah diberitahu oleh pengilang. Jika dilihat definisi produk kosmetik, minyak wangi adalah salah satu daripada produk kosmetik kerana fungsinya adalah untuk mewangikan bahagian tubuh kita. Bayangkan sikap tidak bertanggungjawab pihak pengilang untuk mengaut keuntungan sampai sanggup menipu pengusaha kosmetik yang melantik mereka sebagai pengilang.

2) Produk bercampur racun berjadual

Biasanya produk kosmetik yang bercampur dengan hidrokuinon dan merkuri. Produk pelansingan bercampur dengan sibutramine dan ubat tenaga seperti tongkat ali yang bercampur dengan sildenafil (viagra).

Jika anda menjual produk kosmetik, berhati-hati dengan produk untuk memutihkan kulit muka dan juga produk yang dikhususkan untuk bayi dan kanak-kanak. Kategori produk sebegini memang akan dipantau sekerasnya oleh pihak berkuasa.

3) Produk tiruan

Banyak kes berlaku untuk produk kosmetik kerana ada pihak yang bersifat menangguk di air yang keruh kesan dari populariti produk orang lain. Mereka meniru produk orang lain dan menawarkan dengan harga yang lebih murah. Sebagai pembeli, berhati-hati dengan harga murah yang ditawarkan dan seeloknya rujuk kepada syarikat yang menjual produk tersebut untuk sebarang penjelasan.

Berhati-hati jika anda menjual produk berikut:

  • Krim pemutihan atau anti-penuaan
  • Ubat pelansingan badan
  • Minuman pemberi tenaga
  • Ubat peransang seks

4 jenis produk ini cenderung untuk mendatangkan pelbagai masalah kepada pengguna. Seelok-eloknya lantik syarikat yang tidak berkait dengan pengilang untuk menjalankan ujian makmal yang berkaitan.

Gunalah perkhidmatan konsultan untuk jangka masa pendek atau 'on project basis' sekiranya syarikat tidak mampu untuk melantik eksekutif regulatori mereka sendiri,  Serap ilmu sebanyak mana yang boleh ketika menggunakan perkhidmatan konsultan ini supaya anda boleh melakukannya sendiri di masa hadapan.

No comments:

Post a Comment