Friday 6 May 2016

Produk Yang Perlu Berdaftar Dengan KKM

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Sumber dari pixabay

Produk berdaftar dan produk bernotifikasi adalah 2 jenis proses yang berbeza yang perlu kita fahami ketika ingin menjual sesuatu produk berkaitan kesihatan dan juga penjagaan kulit. Seperti yang telah saya terangkan dahulu, produk kosmetik perlu mendapatkan nombor notifikasi dari pihak berkuasa iaitu dari Kementerian Kesihtan Malaysia (KKM). Nombor notifikasi akan bermula dengan huruf NOTxxxxxxxx. Manakala produk yang perlu mendapatkan nombor pendaftaran pula terbahagi kepada 4 kategori jenis ubat iaitu:


  1. Produk yang mengandungi racun berjadual (ubat darah tinggi, ubat kencing manis)
  2. Produk 'Over-the-counter' atau 'OTC' (vitamin C, paracetamol, multi-vitamin)
  3. Produk Tradisional (homeopati, teh herba, 'royal jelly', spirulina dan lain-lain)
  4. Produk veterinar
Kesemua kategori produk di atas akan diberikan nombor MALxxxxxxxx setelah ia berjaya didaftarkan dengan pihak KKM. Proses pendaftaran lebih rumit berbanding dengan proses notifikasi produk. Lebih banyak dokumen teknikal yang diperlukan bagi menyokong proses pendaftaran ubat tersebut berbanding dengan produk kosmetik.


Untuk penjual atas talian, mereka hanya boleh menjual produk kategori 2 dan 3 seperti di atas. Tanggungjawab anda sebagai penjual, pastikan kesemua produk yang dijual mempunyai nombor MAL. Kadang-kadang ada sesetengah dari penjual mendapatkan produk dari luar negara yang tidak berdaftar dengan KKM. Jangan terlalu ghairah dengan keuntungan sehingga membahayakan kesihatan pengguna yang membelinya. Kita tidak tahu tentang proses penghasilan produk itu jika ianya tidak berdaftar. Itulah sebab kenapa sesuatu produk ubat itu perlu berdaftar dengan KKM supaya pihak berwajib dapat mempastikan sesuatu produk itu benar-benar selamat, berkesan dan berkualiti tinggi.

Jika produk itu sudah terbukti berkesan dan berjaya di luar negara, cuba usahakan dengan pihak pembekal untuk mendapatkan nombor MAL dengan KKM. Sesuatu produk yang bagus sudah pastinya dikeluarkan oleh pengilang yang mempunyai reputasi tinggi di dalam bidang ini. Sekurang-kurangnya kilang mereka bertaraf GMP supaya setiap produk yang dikeluarkan itu mempunyai rekod dokumentasi yang lengkap dan teratur. 



Jika anda lihat produk makanan yang bersifat 'self-regulated' mempunyai pelbagai cerita di sebalik pembuatannya. Minuman tenaga yang dicampur steroid, mi kuning yang mengandungi bahan kimia berbahaya dan kilang bihun yang sangat kotor serta menjijikkan. Ini berlaku kerana produk makanan tidak perlu berdaftar. Kawalan terhadap produk makanan yamg minima membuatkan mereka berani membuat pelbagai perkara yang melanggar etika. Bayangkan jika produk ubat juga dikawal seperti produk makanan. Maka banyaklah kilang-kilang ubat yang akan muncul dan semua orang pun boleh menghasilkan produk ubat sendiri. 

Ini tidak bermakna saya menyokong pula produk makanan itu perlu berdaftar di masa hadapan. Bukan itu yang saya maksudkan :) Jangan salah faham nanti ramai yang kecam saya pula. Cuma ingin menggambarkan sifat peniaga itu kadang-kadang hanya fokus kepada keuntungan semata-mata. Kita akan bersikap acuh tak acuh apabila sesuatu akta itu hanya dikawal secara 'self-regulated'. Ini mungkin berlaku jika produkubat itu tidak perlu berdaftar dengan KKM. 

Anda perlu tahu bahawa produk ubat ini mempunyai bahan aktif yang boleh bertindak secara optima pada kuantiti dos tertentu. Ia boleh mendatangkan kerosakan pada buah pinggang seseorang jika dos yang diberikan adalah berlebihan. Jika dos terkurang pula dari yang sepatutnya, ia tidak akan mendatangkan kesan yang seperti diharapkan. Melalui proses pendaftaran produk ubat, pihak KKM boleh memantau aspek ini dengan lebih mendalam. 

Jom kita menjadi peniaga atas talian yang beretika :) Tak susah kan? 

1 comment: