Saturday 21 May 2016

Iklan Produk Kosmetik dan Makanan Kesihatan

Teks: Aznita Zawawee
Foto: FB KKM

Peranan iklan itu memang amat penting bagi sesuatu produk termasuk produk kosmetik dan makanan kesihatan. Iklan kita perlulah berinformasi dan unik supaya mendapat perhatian dari pelanggan kita. Namun demikian, ianya juga perlu bersifat jujur dan tidak memperdayakan pihak pengguna. Bagi kedua-dua kategori di atas tidak memerlukan kebenaran dari pihak Lembaga Iklan Ubat tetapi perlu mematuhi beberapa kriteria penting supaya tidak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Antaranya;
  • Tiada tuntutan kesihatan dan perubatan. Terdapat 20 jenis penyakit yang tidak boleh diiklankan antaranya ialah kerosakan buah pinggang, kerosakan jantung, kencing manis, sawan, lumpuh, batuk kering, asma, kusta, barah, pekak, ketagihan dadah,hernia, penyakit mata, tekanan darah tinggi, sakit mental, kemandulan, frigiditi, lemah fungsi seks, AIDS dan penyakit kelamin.
  • Tidak boleh mengandungi tuntutan yang melampau kecuali pihak syarikat mempunyai data sokongan sekiranya dicabar oleh mana-mana pihak.
  • Tidak boleh menggunakan jaminan  atau pengesahan seperti 99% atau 100% berkesan.
  • Sesuatu iklan itu tidak boleh menimbulkan rasa ketakutan di kalangan pengguna, berunsurkan khurafat dan mempergunakan isu agama atau mempunyai kepentingan agama tertentu.
  • Testimoni yang benar dan sah.
Kebiasaannya iklan makanan kesihatan banyak melanggar larangan di atas kerana mengandungi rawatan dan pencegahan ke atas 20 jenis penyakit tersebut. Secara umumnya, langkah alternatif untuk menjaga kesihatan itu tidak salah asalkan anda memahami bagaimana fungsi sesuatu produk tu bertindak. Seeloknya rujuk kepada doktor sebelum mengambil sebarang produk kesihatan terutamanya jika anda sudah menghidapi penyakit tertentu.

Larangan ini juga dibuat demi menjaga kepentingan dan keselamatan pengguna sekiranya mereka telah disahkan menghidapi penyakit kronik tertentu. Bayangkan mereka ini tidak mahu meneruskan rawatan perubatan di hospital dan hanya begantung kepada produk kesihatan semata-mata. Sudah tentu keadaan ini boleh mengancam nyawa seseorang terutamanya jika sesuatu iklan itu dibuat dengan memberi jaminan kesembuhan 100% terhadap penyakit yang mereka sedang hidapi. 

Kesalahan mengiklankan 20 jenis penyakit ini boleh mengakibatkan pihak terlibat didenda sehingga RM 3000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. Ianya juga tidak terhad kepada pemilik iklan sahaja kerana mereka yang mencetak, mengedar dan menyiarkannya turut boleh di denda di bawah akta ini.

Jika semua pun tak boleh, apa lagi yang tinggal untuk diiklankan? Sudah tentu iklan kita tidak menarik jika tidak mengandungi ayat-ayat 'Power' yang biasa kita gunakan. Jangan bimbang kerana masih ada caranya. Saya akan kongsikan caranya di entri seterusnya :) 

*Sumber dari FB KKM



No comments:

Post a Comment