Wednesday 12 October 2016

Ubat Tradisional Vs Ubat Farmaseutikal

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Sumber dari FB KKM.
 
 
 
Kadang-kadang saya hairan apabila semakin tingginya kesedaran masyarakat hari  ini berkaitan dengan penjagaan kesihatan, semakin mereka terdedah dengan bahaya di sebalik penggunaan supplemen kesihatan atau ubat herba yang dijual di pasaran. Bulan lepas, satu kenyataan akhbar telah dibuat oleh pihak KKM mengenai 2 jenis produk tradisional yang dikatakan mujarab untuk merawat penyakit resdung.
 
Hasil aduan daripada pengguna, pihak KKM telah melakukan siasatan ke atas produk tersebut. Hasil ujian makmal, ternyata ubat herba ini mengandungi bahan beracun Dexametahsone dan Chlorpheniramin. Kedua-dua bahan ini tidak boleh didaftarkan di bawah kategori produk tradisional kerana ia dikawal di bawah akta Racun 1952. Selain itu, ianya juga mengandungi nombor pendaftran MAL yang palsu.
 
Apabila membeli sebarang ubat herba atau suplemen, berhati-hati dengan tuntutan produk ('product claim') yang dibuat. Jika ianya dikatakan boleh merawat sebarang masalah berkaitan sesuatu penyakit, besar kemungkinan ia mengandungi bahan beracun. Bahan beracun ini dalam bahasa mudahnya 'ubat klinik/hospital' yang mana ianya hanya boleh diberikan atas nasihat doktor. Ini kerana ubat tersebut perlu diambil dalam dos tertentu sahaja untuk memberikan kesan yang optimum. Jika ia dimasukkan ke dalam ubat herba, kita tidak tahu sebanyak mana jumlah yang kita telah ambil kerana ia telah dimasukkan secara tidak sah oleh pihak pengilang.
 
Antara kesan sampingan ubat resdung yang dirampas ini ialah ia telah menyebabkan keradangan hati (hepatitis), masalah fungsi ginjal, ruam dan penambahan berat badan. Terdapat banyak lagi kesan negatif yang disenaraikan dan boleh rujuk gambar di atas.
 
Ubat tradisional/herba atau sebarang jus minuman kesihatan tidak boleh merawat penyakit. Berhati-hati dengan ubat herba/suplemen yang kononnya boleh merawat penyakit seperti resdung, darah tinggi, gout dan kencing manis. Seelokknya minta nasihat dari doktor atau ahli farmasi yang bertauliah.
 
Suplemen dan ubat herba ini biasanya diambil demi menjaga kesihatan secara umum dan bukannya khusus untuk merawat sebarang penyakit. Ianya juga boleh memberi kelegaan atau keselesaan terhadap sesuatu kondisi pesakit namun bukan bertindak untuk merawat sepenuhnya. Jika ingin mengambil sebarang produk kesihatan,pastikan ia berdaftar dan cuba buat sedikit penyelidikan di internet berkaitan ubat tersebut.

No comments:

Post a Comment