Wednesday 27 April 2016

Rutin baru, jom bersenam!

Teks: Aznita Zawawee
Foto: Aznita Zawawee

Masa mula-mula menjadi 'SAHM', memang saya berangan nak ke gim setiap hari. Itu juga antara azam untuk tahun 2016, jangan culas nak bersenam! Walaupun azam ini nampak klise tapi saya rasa semua orang perlu kekalkannya di dalam senarai azam tahun baru selagi kita belum mencapai tahap istiqamah. Lagipun bersenam memang bagus untuk kesihatan tubuh dan minda kita. Bukan mudah nak kekal istiqamah kan kawan-kawan?

Bila dah masuk tahun baru, saya hanya sempat 3 hari sahaja ke gim rasanya. Teruknya prestasiku, 3 kali je setakat ini. Ada sahaja alasan untuk tidak pergi ke gim. Bosan tiada teman dan penat sentiasa menjadi sebab utama. Duduk rumah pun penat tau. Mungkin saya tak berapa cekap lagi nak bahagikan masa apabila menjadi suri rumah sepenuh masa.

Setiap hari rutin saya bermula dari jam 6.20 pagi, dari menyiapkan anak sulung ke sekolah, anak bongsu ke tadika dan anak kedua ke sekolah sessi petang pula. Kebiasaannya jam 3 petang baru saya dapat berehat sebentar setelah menyelesaikan semua urusan rumah tangga. Selalunya tenaga saya pada waktu ini memang berada di tahap paling minima. Memang 'flat' lah orang cakap, nak keluar rumah pun malas jadinya.

Hari ini saya cuba tukarkan rutin saya sedikit. Bermula dengan bersenam dahulu di awal pagi selepas selesai urusan anak ke sekolah. Terima kasih kepada jiran-jiran yang mengajak saya bersenam pagi ini. Ada geng baru seronok kita nak bersenam kan? Sejujurnya saya tidak berapa mengenali jiran-jiran saya ini walaupun sudah lama tinggal di sini. Bila mereka ajak saya 'join' pagi ni tanpa fikir panjang saya terus besetuju sahaja. Inilah masa nak beramah-mesra dengan jiran-jiran dan lagi pun kita yang tidak bekerja kena pandai mencuri masa untuk bersosial juga. Kalau dunia kita hanya tertumpu kepada anak-anak dan kerja rumah pun tidak elok sebenarnya. Lama-lama boleh jadi stres pula :)

Hasilnya pagi ini, bersenam pun saya dapat dan pada waktu yang sama berkenalan pula dengan 4 orang rakan baru. Secara tidak sengaja saya dapat membina 'networking' dengan jiran-jiran juga yang rata-ratanya adalah  'SAHM' dan WAHM'. Mana tahu saya dapt belajar sesuatu dari mereka untuk dijadikan panduan nanti. Maklumlah saya kan budak baru belajar :) Saya rasa kejayaan kecil saya hari ini adalah dapat keluar dari rasa segan mahu bercampur dengan orang lain. Oh ya, Aznita Zawawee ini memang penyegan orangnya. Saya ini memang seseorang yang sukar didekati tetapi bila dah kenal, pasti anda akan jatuh hati.

Abaikan muka sememeh saya tu. Ini adalah larian pertama saya setelah beberapa tahun menjalani gaya hidup sedentari. Rasa macam nak pengsan :) 

No comments:

Post a Comment