Thursday, 26 November 2015

Apa itu L-Glutathion?

Teks: Aznita Zawawee

Sejujurnya saya agak skeptikal sewaktu kemunculan produk berasaskan L-Glutathione di pasaran. Agak menakutkan apabila mendengar terdapat pil / tablet yang boleh menghasilkan kulit yang cantik dan putih. Jika krim pemutihan itu sendiri sudah menakutkan untuk dicuba kerana bimbang tentang kandungan kimianya dan ini apatah lagi sesuatu yang perlu dimakan untuk menjadikan kulit kita putih. Agak radikal pula bagi saya ketika pertama kali mendengarnya. Erm.. banyak sungguh jenis produk kecantikan di pasaran kan? Saya memang kagum dengan kaum hawa yang sangat berani mencuba sesuatu yang baru seperti ini demi untuk kelihatan cantik. 
Saya terfikir kalau ia sesuatu yang membahayakan tentu ia tidak akan diiklankan secara terbuka di laman sosial dan apatah lagi di televisyen. Selalunya saya akan menganggap sesuatu produk itu selamat sekiranya ianya sudah muncul di kaca televisyen. Ini kerana pengusaha boleh dikenakan denda yang sangat tinggi jika membuat iklan produk yang tidak berdaftar. Maka saya pun mula membuat sedikit carian di internet untuk mengetahui apa sebenarnya bahan L-Glutathione ini. Wah mudahnya untuk mendapat info berkenaan suplemen ini kerana ia bukan sahaja terkenal di Malaysia malahan juga di luar negara. Kalau di luar negara, produk ini diambil kerana ia merupakan bahan anti-oksidan yang sangat baik untuk sistem ketahanan badan kita. Berikut merupakan kebaikan glutathione yang saya dapat hasil carian di internet:

  • sebagai bahan anti-oksida
  • mencerahkan kulit
  • melembut, menghaluskan kulit
  • anti-penuaan
  • meningkatkan sistem pertahanan/imun tubuh
Kebaikan L-Glutathione sememangnya sangat banyak untuk dikongsikan tetapi secara khususnya saya hanya ingin fokus tentang bagaimana ia boleh membantu untuk mencerahkan kulit kita. Melanin merupakan pigmen yang memberikan warna pada kulit kita yang dihasilkan daripada pengaktifan enzim Tyrosinase. Kehadiran glutathione menghalang penghasilan melanin dan secara tidak langsung wajah kita akan kelihatan lebih putih dan cerah berseri. Jadi apabila pigmen warna kulit kita semakin berkurang maka kulit kita akan nampak semakin putih dan cerah. Teruja pula rasa nak mencuba produk ini apabila sudah mengetahui bagaimana ia berfungsi. Jom kita cuba dan kongsikan hasilnya nanti :)
Sedikit peringatan kepada pengusaha kosmetik di luar sana bahawa sekarang penggunaan bahan glutathione sudah tidak dibenarkan dalam produk berasaskan makanan. Ia perlu didaftarkan sebagai suplemen makanan dan mendapat nombor pendaftaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Untuk pengguna pula, jika ingin membuat pilihan yang selamat bolehlah merujuk ke laman web http://portal.bpfk.gov.my/ untuk menyemak status produk gluthatione yang berdaftar.

Selamat mencuba!

Sumber rujukan: http://glutathionepro.com/what-is-l-glutathione/

Wednesday, 25 November 2015

Kulit Putih Atau Kulit Sihat?

Teks: Aznita Zawawee

Produk pemutihan sentiasa mendapat tempat di kalangan wanita sejak dahulu lagi. Siapa yang tidak menginginkan kulit yang putih gebu kan? Hampir semua wanita mendambakan kulit sebegini sehinggakan terdapat pelbagai produk pemutihan wajah wujud di pasaran. Tidak salah mencuba produk-produk sebegini asalkan kita mengetahui sejauh mana kebaikan dan keselamatan sesuatu produk tersebut. Kini lebih mudah bagi kita sebagai pengguna untuk mengetahui keberkesanan sesuatu produk. Cuma buat carian di internet dan pasti terdapat forum atau blog yang membincangkan topik berkaitan. Sentiasa mengkaji terlebih dahulu produk yang ingin dicuba supaya kita tidak menyesal di kemudian hari.
Saya sering tekankan kepentingan kulit yang sihat berbanding kulit yang putih melepak. Sayangi dan hargailah anugerah semulajadi supaya kita tidak tersilap langkah menggunakan produk-produk yang berbahaya. Ada seorang teman pernah menggunakan satu jenama produk yang terkenal selama beberapa tahun dan akhirnya mendapat kulit sensitif yang agak teruk. Sehingga kini, dia hanya boleh menggunakan 'Aqueous Cream' sahaja sebagai produk penjagaan kulitnya. Tidak dinafikan kulit kawan saya menjadi putih dan licin sewaktu mula-mula menggunakan produk terkenal tersebut. Namun, lama-kelamaan kulitnya bertukar menjadi sensitif dan menggelupas dengan teruk sehingga perlu bertemu dengan doktor pakar untuk merawat kulit sensitifnya.
Sebenarnya fungsi krim pemutihan bukanlah untuk memutihkan kulit kita sehingga berbeza daripada warna kulit asal. Ianya lebih untuk menghilangkan kesan jeragat, parut dan mengembalikan tona kulit yang sekata. Kita perlu berhati-hati dengan produk yang menyebabkan penggelupasan kulit atau yang dapat memberikan kesan yang terlampau cepat kerana ia merupakan ciri-ciri biasa bagi produk yang mengandungi bahan kimia yang tidak dibenarkan. Sebaik-baiknya semak di laman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu sebelum membelinya. Kebiasaannya pengusaha kosmetik mengeluarkan krim pemutihan yang dicampur dengan bahan yang dilarang seperti Hidrokuinon, Merkuri atau Tretinoin. Disebabkan ini KKM bertindak lebih tegas dalam mengawal dan menilai permohonan notifikasi produk pemutihan di pasaran.
Untuk memiliki kulit yang cantik kita haruslah rajin menjaga kebersihan kulit kita, pastikan minum air dan tidur yang secukupnya. Jangan lupa sapukan krim pelindung matahari ketika keluar dari rumah untuk perlindungan dari sinaran UV yang boleh membahayakan kesihatan kulit kita. Sekali-sekala pergi mendapatkan rawatan muka di salun-salun kecantikan. Bukan sahaja kulit kita akan tampak cantik malah kita juga boleh merehatkan diri untuk ganjaran setelah penat bekerja selama 5 hari seminggu. 

Sunday, 1 November 2015

Masalah anak lambat bercakap

Teks: Aznita Zawawee

Saya mengakui agak lambat membawa Zakwan berjumpa doktor pakar untuk mengenalpasti masalah yang dihadapinya. Selalunya orang tua akan bercakap anak kita ini jenis yang 'berat mulut' atau 'late talkers'. Kata-kata seperti "Zakwan nampak normal.", "Zakwan boleh cakap tapi pelat. Lama-lama nanti Zakwan oklah tu." antara yang sering diberikan oleh rakan-rakan dan ahli keluarga apabila saya menceritakan kerisauan terhadap perkembangan Zakwan. Ini semua sedikit sebanyak telah melengahkan saya membawanya bertemu dengan doktor pakar kanak-kanak. Pada mulanya saya juga risau jika Zakwan sebenarnya merupakan kanak-kanak autisme. Bukan hendak menolak ketentuan Allah sekiranya ia benar-benar berlaku cuma sedikit ralat sebab kami lambat bertindak.

Kemuncak kerunsingan saya bermula apabila Zakwan enggan ke sekolah tadika sewaktu sessi tahun 2015 bermula pada awal tahun yang lalu. Kami mengambil masa 2 minggu untuk menemaninya ke sekolah tetapi masih gagal. Untuk tidak mengganggu guru dan rakan-rakan kelas yang lain, kami putuskan tidak menghantarnya ke tadika untuk sementara waktu. Mungkin Zakwan masih belum bersedia ke sekolah. Zakwan memang suka mengamuk dan susah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru. Sebagai contoh: Zakwan akan menangis setiap kali kami menghantarnya ke taska. Padahal sudah setahun kami tempatkan dia di taska tersebut bersama-sama dengan kakak dan abangnya. Tiada masalah dengan budak-budak atau pengasuh di taska seperti bergaduh, pengasuh mendera atau garang. Dia susah untuk berpisah dengan kami apabila saya dan suami keluar bekerja.

Kami berjaya mendapat temujanji dengan doktor pakar Dr. Rajini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 31.03.15. Alhamdulillah, menurut Dr, Rajini, Zakwan tidak memiliki ciri-ciri autisme yang konsisten dan dia boleh bersekolah di sekolah biasa. Zakwan disahkan mengalami masalah lambat bercakap (Speech Delay) dan jangka-masa tumpuan yang singkat. Kami disarankan untuk mengubah cara kami mendidik anak di rumah seperti perlu tingkatkan peraturan tertentu, asingkan tempat tidur, buat jadual untuk anak-anak di rumah dan pastikan Zakwan tidak lagi menggunakan lampin pakai-buang untuk membuang air besar. Ketika itu Zakwan masih tidak mahu membuang air besar di tandas. Selain itu, Zakwan perlu menjalani terapi tatacara kerja dan terapi pertuturan untuk mengatasi masalah yang dihadapinya sekarang.

Saya sarankan kepada anda semua untuk membawa anak anda bertemu dengan pakar seawal 2 tahun sekiranya mendapati terdapat tanda-tanda mereka lambat bercakap. Seawal 2 tahun, anak kita sudah sepatutnya pandai menggunakan 2 perkataan untuk membentuk ayat seperti "Nak susu". Mereka juga sepatutnya sudah pandai menamakan objek-objek yang ringkas (cth: bola, burung), mengetahui lebih dari 50 perkataan dan kita sudah boleh memahami lebih kurang 50% daripada percakapan mereka. Bawalah anak anda berjumpa dengan pakar sekiranya mereka tidak menunjukkan ciri-ciri di atas. Jika lebih awal masalah mereka dikesan, lebih cepat kita dapat bertindak untuk merangsang perkembangan mereka.






Tuesday, 27 October 2015

Kebaikan Kolagen Untuk Wanita

Teks: Aznita Zawawee

Kolagen merupakan salah satu produk kecantikan yang paling popular masa kini. Semua pengusaha kosmetik berlumba-lumba menghasilkan produk berasaskan kolagen kerana nilai permintaannya yang sangat tinggi. Pelbagai bentuk produk kolagen yang dihasilkan dari bentuk tablet, serbuk, minuman sehinggalah kepada produk kosmetik seperti lipstik, pelembap dan masker. Saya sendiri tidak ketinggalan mengambil produk kolagen untuk mengekalkan keanjalan kulit muka. Dengan kata lainnya untuk tidak cepat nampak tua :)
Sememangnya kolagen sangat sinonim sebagai produk anti-penuaan bagi golongan wanita. Kenapa kolagen? Apakah kebaikan kolagen sebenarnya? Kolagen dihasilkan secara semulajadi oleh tubuh badan kita. Namun, penghasilannya berkurangan sejajar dengan faktor usia. Kolagen sebenarnya berfungsi untuk memberikan struktur sokongan kepada pelbagai jenis tisu di dalam badan kita seperti pada bahagian otot, tulang dan ligamen. Ia memberikan kekuatan dan keanjalan pada tisu badan tersebut. Kandungan kolagen yang berkurangan menyebabkan kulit menjadi semakin nipis dan berkedut serta menyebabkan rambut kita mudah rosak atau rapuh. 
Produk kolagen dapat membantu untuk menjadikan kulit kita kembali anjal dan mengurangkan kedutan/garisan halus pada wajah. Ia sememangnya antara produk anti-penuaan yang terbaik  untuk golongan wanita dan juga lelaki yang mementingkan penampilan diri yang menarik. Umur yang paling sesuai untuk mengambil produk kolagen ialah mereka yang berusia 30 tahun ke atas. Namun tidak salah jika anda ingin mengambilnya lebih awal memandangkan mencegah itu adalah lebih baik dari merawat. Betul tak? 
Kebanyakan produk kolagen hari ini dihasilkan daripada sumber marin/laut yang mana ia boleh mendatangkan kesan alahan bagi sesetengah individu. Cuba rujuk kandungan produk tersebut untuk mengetahui sumber kolagen yang digunakan. Jika tidak pasti, anda boleh bertanyakan pada doktor atau ahli farmasi sebelum mengambilnya.  
Waktu paling sesuai untuk mengambil produk kolagen ialah pada awal pagi atau sebelum tidur. Tubuh kita akan menyerap kolagen dengan lebih baik jika diambil sebelum kita bersarapan. Pada waktu malam pula ia dikatakan sesuai kerana ketika itu tubuh badan kita sedang berehat dan proses rejuvenasi serta pembaik-pulih tisu sedang giat berlaku. Jangan ambil produk kolagen secara berlebihan untuk mendapatkan kesan yang segera. Patuhi arahan yang tertera pada label supaya ia tidak mendatangkan kemudaratan. 
Pastikan produk kolagen yang diambil juga telah berdaftar dengan KKM supaya tahap keberkesanan dan keselamatan produk lebih terjamin. Cuba buat sedikit rujukan di internet untuk mengetahui testimoni atau maklumat berkenaan produk tersebut sebelum membelinya. Kebanyakan kolagen berharga agak mahal jadi anda perlu pastikan pelaburan anda adalah berbaloi :)  

Nota: Sesetengah produk kolagen diklasifikasikan sebagai produk minuman dan ia didaftarkan di bawah Akta Makanan. Jika didaftarkan sebagai produk makanan, tiada maklumat yang boleh diperolehi dari sistem KKM yang saya kongsikan di dalam entri sebelum ini. 

Wednesday, 21 October 2015

Tips Untuk Mengetahui Jenis Kulit Anda

Teks: Aznita Zawawee

Jika masih keliru tentang jenis kulit, mari saya kongsikan sedikit tips untuk mengenalpasti keadaan kulit kita yang sebenarnya . Pertama sekali anda perlu mencuci muka dengan menggunakan pembersih yang lembut dan biarkan kulit anda bebas dari sebarang krim muka selama lebih kurang 1-2 jam.  

Perhatikan apa yang berlaku ke atas kulit muka anda, jika anda mempunyai:

1) Kulit Normal - Kulit kelihatan lembut, tidak kering dan tidak berminyak. Warna kulit juga sekata. Bersyukur jika anda tergolong dalam kumpulan ini. Ini merupakan kulit yang menjadi idaman ramai. Namun, penjagaan kulit yang sebaiknya tetap harus dititikberatkan walaupun kulit kita sudah sedia cantik. Jenis krim yang sesuai ialah krim yang berformula ringan yang mudah diratakan dan diserap ke dalam kulit.

2) Kulit Berminyak - Kulit kelihatan berkilat, berminyak dan pori-pori besar yang kadang-kadang menyebabkan masalah jerawat yang serius. Krim yang sesuai untuk jenis kulit ini ialah krim yang berbentuk gel atau cecair ("liquid'). Kebanyakan produk untuk muka berminyak dan berjerawat mengandungi alkohol dan bahan yang merengsakan kulit. Berhati-hati apabila memakai produk sebegini kerana ia boleh menyebabkan kulit menjadi terlebih kering dan rengsa. Elakkan daripada menggunakan pelembap yang "creamy".

3) Kulit Kombinasi - Di bahagian Zon-T kelihatan berminyak dan normal atau kering di bahagian lain. Agak mencabar untuk menjaga kulit wajah sebegini kerana anda memerlukan 2 jenis produk untuk merawat masalah kulit yang berlainan. Produk yang sesuai haruslah dalam bentuk gel atau "liquid" untuk bahagian berminyak/ Zon-T dan krim yang ringan atau serum di bahagian yang normal atau kering.

4) Kulit Kering -  Kulit muka terasa ketat ("tight") dan terdapat kawasan yang menggelupas. Perlu memakai krim atau losyen muka dengan kerap terutamanya jika mereka terdedah dengan cahaya matahari dan penghawa dingin untuk jangka masa yang lama. Elakkan dari menggunakan produk yang mengandungi bahan yang merengsakan kulit seperti menthol, citrus, peppermint atau alkohol.

Yang mana jenis kulit anda? Saya nombor 3 :)

Sememangnya ia akan menjadi lebih mudah untuk mencari produk yang sesuai setelah mengetahui jenis kulit kita yang sebenarnya. Semoga ilmu ini bermanfaat bagi sesiapa yang membacanya.




Monday, 19 October 2015

Tips Memilih Produk Kecantikan Yang Sesuai & Selamat

Teks: Aznita Zawawee

Tidak dinafikan produk kecantikan memang menjadi teman baik kepada kaum wanita. Setiap hari akan ada produk kecantikan yang baru keluar di pasaran dan ramai pasti teruja untuk mencubanya setelah disajikan dengan testimoni yang memberangsangkan. Sejauh manakah produk-produk ini selamat dan sesuai untuk kulit kita? Sebagai pengguna yang bijak kita perlu mengkaji terlebih dahulu tentang produk tersebut sebelum mencubanya. Jangan terpengaruh dengan iklan-iklan yang dipamerkan kerana kesan penggunaan akan berbeza-beza mengikut si pemakainya. Antara perkara penting yang perlu dititikberatkan oleh pengguna dalam pemilihan produk kecantikan yang sesuai dan selamat ialah:

1) Pastikan sesuai dengan jenis kulit - Sebelum memilih sesuatu produk, perlulah difahami dan dikenalpasti akan jenis kulit kita yang sebenarnya. Kesilapan memilih produk yang tidak sesuai boleh mengakibatkan kemudaratan pada kulit si pemakai. Jenis-jenis kulit pada asasnya terbahagi kepada 4 iaitu kulit normal, kulit berminyak, kulit kombinasi dan kulit kering.
Produk yang sesuai dan selamat tidak akan menyebabkan keadaan kulit menjadi rengsa, menggelupas dan berjerawat. Seringkali kita dengar ia adalah satu tindakbalas permulaan yang normal apabila muka ditumbuhi jerawat atau menggelupas selepas penggunaan produk baru. Kesan ini dikatakan berlaku untuk mengeluarkan segala kekotoran yang sebelum ini tersembunyi di dalam kulit kita. Adakah ia fakta atau auta semata-mata? Saya tidak pasti secara sahihnya tetapi berdasarkan pengalaman, produk kecantikan yang bagus tidak sepatutnya menghasilkan kesan yang negatif di awal penggunaannya. 

2) Bahan kandungan - Sebaik-baik bahan kandungan perlu berasaskan dari bahan semulajadi. Kebanyakan bahan penting yang terdapat di dalam produk kosmetik hari ini berasaskan dari tumbuhan herba, ekstrak buah-buahan dan sayur-sayuran. Antaranya seperti ekstrak tomato, timun, lidah buaya dan sebagainya. Pastikan juga tiada bahan yang terlarang digunakan dalam formulasi kosmetik tersebut terutamanya jika produk itu dikhabarkan menghasil kesan pemutihan yang cepat dan drastik. Kebanyakan krim pemutihan dan krim malam mengandungi bahan-bahan kimia yang tidak dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

3) Beli set percubaan terlebih dahulu - Kebiasaannya saya suka membeli set percubaan terlebih dahulu sebelum mencuba sesuatu produk kecantikan. Ianya lebih praktikal dan jimat sekiranya produk yang dibeli itu tidak sesuai dengan kulit kita. Namun tidak semua produk kecantikan menawarkan pek percubaan jadi mungkin anda boleh mencuba dengan membeli pek yang kecil terlebih dahulu. Saya gemar ke outlet SASA kerana di situ ada dijual pek-pek kecil beberapa jenama kosmetik terkenal untuk dicuba. Kadang-kadang kita juga boleh mendapat pek sampel dari majalah-majalah fesyen dan kecantikan. 

4) Jumpa pakar - Tidak semua masalah kulit boleh diselesaikan sendiri dengan memakai produk tertentu di rumah. Sebaik-baiknya berjumpa dengan pakar kecantikan kulit di salun sekiranya anda mempunyai masalah kulit yang serius seperti kulit berjerawat, kulit berjeragat dan sensitif. Mereka lebih arif tentang kulit anda dan terdapat teknologi terkini untuk menyelesaikan masalah kulit yang lebih serius. 

5) Produk berdaftar - Paling penting pastikan produk yang dibeli itu sudah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Produk yang selamat digunakan perlu mempunyai nombor notifikasi dari KKM. Nombor notifikasi bermula dengan NOTxxxx. Pengguna boleh menyemak status pendaftaran produk tersebut di laman web http://portal.bpfk.gov.my/ sebelum membelinya di pasaran.








Yeay! Saya dah resign!

Teks: Aznita Zawawee

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, sudah hampir 5 bulan saya menjadi suri rumah sepenuh masa atau nama glamornya SAHM. Masih dalam misi mengubah status panggilan sebagai SAHM kepada WAHM. Inshaa Allah suatu hari nanti saya pasti akan berjaya memulakan kerjaya sendiri dari rumah. Amin.

Kenapa resign? Soalan yang sering ditanya oleh rakan-rakan dan ahli keluarga. Jawapan yang ringkas, saya ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap keluarga terutamanya kepada anak bongsu saya, Zakwan yang telah disahkan mempunyai masalah lambat bercakap (Speech Delay).

Keputusan yang dibuat bukanlah mudah walaupun saya sudah mendapat izin lebih awal dari suami sebelum saya menghantar surat perletakan jawatan. Saya masih bimbang mampukah kami bertahan dengan hasil pendapatan suami sahaja sedangkan selama ini kami bersama-sama bekerja. Saya juga sudah beberapa kali memberi bayangan kepada ibu-bapa saya tentang niat untuk berhenti kerja dan seperti yang dijangka mereka menentang niat saya. Ketika itu arwah bapa saya masih ada dan dia memang tidak bersetuju jika saya tidak bekerja. Saya pasti ibu berkerjaya di luar sana juga mengalami dilema yang sama seperti saya ketika mempertimbangkan niat untuk berhenti kerja. Apatah lagi jika kalian sudah memegang jawatan tinggi dengan gaji yang agak lumayan.

Saya berkongsi cerita ini dengan rakan lama yang kebetulan baru sahaja berhenti kerja untuk memulakan perniagaan 'mobile spa'nya sendiri. Kata-kata beliau sedikit sebanyak telah meyakinkan saya untuk meneruskan niat berhenti kerja. Masalah beliau pun sama di mana mendapat tentangan dari ibunya kerana tidak yakin anaknya boleh hidup senang sekiranya bekerja sendiri. Nasihat beliau agar saya dengar dan ikut kata-kata suami saya. Jika saya  patuh pada suami, inshaa Allah urusan yang lain akan dipermudahkan oleh-Nya. Tiada guna untuk terus bekerja jika sudah tawar hati dengan pekerjaan sedia ada kerana akhirnya kita bekerja dengan perasaan yang tidak ikhlas. Itu antara kata-kata positif dari rakan saya yang sedikit sebanyak terkesan di hati saya untuk bertindak. Restu ibu-bapa juga penting tapi kita berdoalah suatu hari nanti mereka akan memahami niat kita.

Kemanisan berhenti kerja ini dapat dirasai dari hari demi hari dan ramai juga rakan-rakan dan ahli keluarga yang memberi pandangan yang serupa terhadap saya. Anak bongsu sudah mula mahu ke sekolah dan saya boleh menemaninya ke sessi terapi tatacara kerja (Occupational Therapy) dan pertuturan (Speech Therapy) tanpa perlu risau cuti tahunan akan habis. Berpeluang menjaga arwah abah yang terlantar di hospital selama sebulan lebih sehingga beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 04/08/2015. Walupun perit diuji tetapi pengalaman yang diberikan oleh-Nya sangat mahal harganya. Tidak mungkin saya berpeluang untuk menghabiskan masa sebanyak ini bersama arwah sekiranya saya masih bekerja.


(Hari raya terakhir bersama arwah abah tersayang. Al Fatihah.)

Kini saya dapat menemani mama pula dan membantunya menguruskan hal berkaitan arwah abah memandangkan adik-beradik yang lain bekerja. Sedikit sebanyak mama tidak berasa sunyi jika tinggal bersama kerana saya sentiasa ada di rumah. Alhamdulillah, saya diberi rezeki masa oleh-Nya untuk menguruskan kebajikan orang-orang tersayang. Semoga rezeki yang lain akan tiba apabila sudah sampai waktunya jatuh ke riba saya. Amin.

Sekian.
Aznita